Saliran mesra alam SUStom 1 Julai tangani banjir kilat di tapak binaan

KUCHING: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertanggungjawab menyediakan nasihat teknikal bagi Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) Sarawak bertujuan menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan pembangunan baharu.

Justeru, semua pelan perancangan MSMA atau Urban Storm Water Management (SUStom) dilakukan pemaju termasuk cadangan parit utama, parit dalaman, kolam, sungai atau prasarana saliran lain mesti terlebih dahulu disemak dan diluluskan oleh JPS.

Manual SUStom ini dilaksana pada 1 Julai depan.

Datu Dr Penguang Manggil

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata di bawah SUStom semua kemudahan pengurusan saliran mesra alam bagi pembangunan mesti mendapat kelulusan JPS dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) demi memastikan terdapat ruang mencukupi menampung kapasiti air

Bahkan, JPS sendiri adalah ahli Jawatankuasa Pelan Kejuruteraan Bahagian yang meluluskan pelan kejuruteraan pengurusan aliran mesra alam, termasuk menyemak Pelan Kawalan Hakisan dan Pemendapan sebelum kerja tanah dimulakan.

Menjawab soalan See Chee How (PKR-Batu Lintang) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selasa, Penguang berkata, undang-undang negeri yang baharu berhubung SUStom digubal sebaik sahaja kerja proses ditakrif dengan jelas dan dilaksanakan.

Buat masa ini, Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Kementerian Kerajaan Tempatan, JTS, JPS serta pihak berkuasa tempatan bekerjasama memastikan SUStom dilaksanakan dengan berkesan. – Sarawakvoice