Rondaan sempadan Sarawak-Kalimantan harus dipergiat – Adun Serumbu

KUCHING: Rondaan pasukan keselamatan di sepanjang sempadan Sarawak perlu dipergiatkan untuk membanteras jenayah rentas sempadan, kata seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Miro Simuh (BN-Serumbu).

Beliau berkata keselamatan sepanjang sempadan negeri ini dengan jiran, Kalimantan harus dilihat sebagai agenda paling penting dalam melindungi kedaulatan Sarawak dan negara.

“Sekiranya berlaku pembolosan berterusan di sempadan, ia akan mengundang pelbagai masalah di sebelah kita (Sarawak),” katanya ketika membahas usul penghargaan ucapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini semalam.

Miro berkata baru-baru ini, terdapat kes pecah rumah di daerah Bau menyebabkan satu keluarga diikat dan semua barang berharga mereka dicuri termasuk kenderaan pacuan empat roda mangsa dilarikan dan dijumpai tersadai di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat.

“Beribu-ribu kes rompakan dan kecurian seperti ini telah dilaporkan di negeri ini dan sudah tiba masanya pasukan keselamatan mempergiatkan rondaan di sepanjang sempadan Sarawak,” tegasnya.

Miro berkata penubuhan Rejimen Ke-10 Sempadan dilihat sebagai langkah yang baik ke arah memperkasa kehadiran anggota keselamatan di sepanjang sempadan.

Namun, katanya berdasarkan maklumat yang diperoleh beliau, rejimen berkenaan belum lagi mampu menjalankan tugas-tugas rondaan berikutan kekangan logistik, peralatan dan kenderaan.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri mengusulkan kepada Kementerian Pertahanan supaya rejimen berkenaan disiapsiagakan dengan segera dan dapat dikerahkan bagi melindungi sempadan negeri ini daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin, sekali gus membendung jenayah rentas sempadan yang semakin menjadi-jadi.

Miro turut menggesa supaya kerajaan mempertimbangkan supaya Jalan Bau-Kuching Lama yang semakin sibuk dengan penambahan jumlah kenderaan dinaik taraf kepada dua lorong.

Katanya kerja menaik taraf jalan raya berkenaan sangat perlu berdasarkan statistik yang menunjukkan ia antara jalan maut di negeri ini dengan merekodkan kemalangan pada hampir setiap minggu. Bernama