Perundingan antara Pas-Bersatu gagal bukan disebabkan 5 individu

KUALA LUMPUR: PAS menafikan dakwaan yang dibuat oleh pemimpin UMNO yang juga Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Persekutuan, Tan Sri Dr Rais Yatim bahawa perundingan antara PAS dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  gagal disebabkan lima individu yang disenaraikan beliau.

Sebaliknya punca utama kegagalan perundingan berkenaan, menurut Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man ialah sikap dan kenyataan pimpinan utama Bersatu  berhubung agenda memperkasakan dasar Islam dalam pentadbiran dan perundangan termasuk RUU355, dan serangan terhadap PAS itu sendiri oleh tokoh mereka.

Katanya, perundingan antara PAS dengan Bersatu adalah mandat Jawatankuasa PAS Pusat yang telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Perundingan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden manakala Dr Ahmad Samsuri, Datuk Dr Khairuddin,  Nasaruddin Hassan ialah anggota Jawatankuasa  Perundingan tersebut.

“Adalah tidak benar meletakkan kegagalan perundingan kepada anggota JK Perundingan,” katanya dalam satu kenyataan.

“PAS menggantung perundingan disebabkan beberapa kenyataan Tun Mahathir khasnya yang bertentangan dengan dasar dan perjuangan PAS,” katanya.

Mahathir ialah pengerusi parti Bersatu.

PAS enggan bekerjasama dengan DAP dan Bersatu serta telah memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR baru-baru ini,sekali gus memungkinkan Pas bertembung dengan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14. – Sarawakvoice