Penolakan usul pamerkan wajah sebenar DAP

PULAU PINANG: Penolakan usul sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bermula mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng direhatkan jelas mempamerkan sikap sebenar kerajaan pimpinan DAP, kata Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP).

Justeru, menurut Rahmad  Isahak penolakan usul berkenaan jelas memberi gambaran sikap sebenar pemimpin DAP yang sedikit pun tidak mengendahkan denyut nadi rakyat.

Pihak BN menggesa Guan Eng supaya berehat sehingga kes rasuah terhadapnya dimuktamadkan.

Menurut  beliau, walaupun Speaker mempunyai alasan tersendiri dari sudut peraturan serta asas dalam menolak usul berkenaan namun soal melibatkan kepentingan umum khususnya pengundi berbilang kaum di negeri ini telah gagal serta dinafikan.

Hal ini demikian, ujarnya, kerana subjek utama dalam usul tersebut  membabitkan soal integriti seorang ketua menteri yang pada ketika ini berstatus ‘orang yang didakwa’.

“Sekarang ini yang menjadi persoalannya wajar atau layakkah Guan Eng dari sudut maruah peribadi serta imej pentadbiran kerajaan negeri berterusan menjawat jawatan selaku ketua menteri,” katanya.

“Usul sepenting ini walaupun agak terlambat dikemukakan namun belum terlewat dan sepatutnya diklasifikasikan malah diterima sebagai usul keutamaan atau sekurang-kurangnya dibahaskan walaupun dijangkakan akan diakhiri dengan penolakan berasaskan kepada prinsip kelebihan majoriti dan bukannya ditolak sewenang-wenangnya sebelum sidang dun berlangsung,” ujarnya kepada media.

Tambah Rahmad, sepatutnya usul khas ini diterima serta dibahaskan demi kepentingan rakyat bagi menunjukkan tahap keseriusan kerajaan negeri apatah lagi ia melibatkan soal liabiliti kepimpinan seorang ketua menteri.

“Rakyat Pulau Pinang telah dikecewakan bagi kali kedua apabila usul melibatkan ketua menteri telah ditolak,” tegasnya. – Sarawakvoice