Paulus kini ketuai BNBBC Sarawak

KUCHING: Adun Batu Danau, Paulus Palu Gumbang hari ini diumum sebagai Pengerusi baharu Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) berkuat kuasa hari ini.

Paulus menggantikan Adun Semop yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol yang telah dilantik sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat).

Pelantikan untuk sesi 2017-2021 itu turut menyaksikan Adun Sadong Jaya, Aidel Lariwoo dilantik Timbalan Pengerusi.

Adun Samalaju, Majang Renggi pula dilantik Setiausaha, yang akan dibantu oleh Adun Layar, Gerald Rentap Jabu.

Adun Batu Kitang, Ir Lo Khere Chiang dilantik Bendahari, dan akan dibantu Adun Daro, Shafiee Ahmad.

Setiausaha Penganjur pula ialah Adun Saribas, Mohd Razi Sitam, manakala Timbalannya Adun Serembu, Miro Simoh.

Empat ahli jawatankuasa yang turut dilantik ialah Adun Demak Laut, Dr Hadzland Hipni, Martin Ben (Adun Kedup), Wilson Nyabong Ijang (Adun Pelagus) dan Datuk Ding Kuong Hiing (Adun Meradong).

Jawatankuasa baharu BNBBC ini telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Tingkat 5, Bangunan Dun Sarawak tengah hari ini, sebelum membuat pengumuman rasmi kepada media. – Sarawakvoice