Malaysia gesa Korea Utara henti ujian nuklear

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Korea Utara supaya menghentikan ujian nuklear dan peluru berpandu yang boleh mencetuskan ketegangan serantau, kata Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.

“Dalam hal ini, Malaysia menyeru Korea Utara kembali komited terhadap dialog dan rundingan bagi mencapai keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa secara amnya,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra menzahirkan kebimbangan berkaitan tindakan Korea Utara yang menjadi ancaman kepada negara serantau.

“Malaysia berasa amat gusar atas tindakan Korea Utara yang secara jelas mencabuli resolusi berkaitan Majlis Keselamatan PBB,” tambah kenyataan itu.

Jsuteru, Wisma Putra menggesa Korea Utara melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab antarabangsanya di bawah resolusi berkaitan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ini kerana, ujian peluru berpandu menghalang sebarang usaha untuk mewujudkan keamanan berkekalan di Semenanjung Korea dan dunia secara amnya.

“Ia juga menjejaskan usaha global untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Sehubungan itu, kata kenyataan itu lagi, Malaysia mengutuk pelancaran peluru berpandu jarak sederhana oleh Korea Utara pada 14 Mei lalu. – Sarawakvoice