Kurangkan pekerja asing: Undang-undang baharu perlu digubal

SHAH ALAM: Satu undang-undang baharu perlu digubal bagi mewajibkan peserta industri pembinaan menggunakan sistem pembinaan berindustri (IBS) yang mengurangkan kebergantungan negara secara ketara kepada pekerja asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata menerusi IBS yang juga dikenali sebagai pembinaan pasang siap, komponen binaan dihasilkan di kilang dalam persekitaran terkawal dan dihantar ke tapak pembinaan untuk dipasang menjadi struktur dengan tenaga kerja yang minimum.

“Dalam bidang pembinaan, ada ramai tenaga kerja asing dan apabila IBS digunakan, maka kita boleh kurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di tapak pembinaan sebab semua komponen perumahan dibuat di kilang.

 “Bila komponen dibuat di kilang, ia dihantar terus ke tapak pembinaan dan sekali gus dapat menangani isu pencemaran bunyi serta masalah pembuangan sampah di tapak pembinaan yang mengganggu mereka yang tinggal di sekitar projek pembinaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Kemahiran Belia Akademi Latihan Terowong syarikat MMC Gamuda di sini semalam.

Abdul Rahman berkata langkah mewajibkan penggunaan IBS juga bertujuan membatasi pengaliran wang ke luar negara sehingga RM30 bilion setahun oleh pekerja asing.

Beliau berkata peserta industri pembinaan perlu diberikan jangka masa sekurang-kurangnya tiga tahun bagi membina kilang IBS sendiri sebagai persediaan awal menyesuaikan diri dengan sistem itu sebelum mewajibkan penggunaannya.

Abdul Rahman berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar untuk memperhalusi cadangan mewajibkan penggunaan IBS.

Dalam pada itu, beliau memuji kecekapan MMC Gamuda yang mempunyai kilang IBS sendiri di samping membina Akademi Latihan Terowong yang menjadi akademi pertama di dunia menyediakan latihan dalam kerja-kerja berkaitan terowong menggunakan teknologi mesin pengorek terowong.

Terdahulu, Abdul Rahman menyampaikan sijil tamat latihan kepada 100 pelatih daripada akademi itu yang menamatkan latihan pengkhususan dalam kimpalan, kerja-kerja mekanikal dan elektrik dalam industri pembinaan terowong.

Selain itu, kesemua mereka menerima surat tawaran kerja daripada Kumpulan Gamuda untuk terlibat dalam kerja-kerja pembinaan bahagian bawah tanah Laluan 2 MRT (Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) yang dijangka bermula November ini. Bernama