Kunjungan PM Najib ke China turut bawa pelaburan ke Sarawak

BEIJING: Pepatah Cina ada menyatakan yang bermaksud  sekiranya rakyat bersatu hati, tanah pun boleh bertukar menjadi emas.

Dalam hal ini, usaha membentuk rakyat Malaysia supaya menjadi sebuah masyarakat yang bersatu hati, sepakat dan mempunyai keyakinan diri, merupakan antara cabaran paling besar yang dihadapi negara ini untuk mencapai cita-citanya menjadi sebuah negara maju dari segenap segi menjelang 2020.

Namun demikian, harapan untuk mencapainya tetap ada. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Inisiatif “Jalur dan Laluan” (Belt and Road) China mewujudkan satu peluang keemasan bagi Malaysia untuk mencapai status negara maju, terutama melalui pelaksanaan projek infrastruktur yang mampu mengubah rentak permainan hasil daripada inisiatif itu.

“Ini suatu peluang baik bagi kami untuk merancakkan lagi kemajuan ekonomi Malaysia bersama-sama ekonomi China,” kata beliau ketika menghadiri Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa baru-baru ini.

Bagaimanapun,  Najib kecewa dengan dakwaan beberapa ahli politik pembangkang Malaysia kononnya kerajaan menjual kedaulatan negara apabila ia bersetuju dengan pelaksanaan projek yang diilhamkan melalui inisiatif itu.

“Saya tidak rasa menyesal kerana berhasrat membina infrastruktur bertaraf dunia untuk Malaysia, yang akan mengekalkan pemilikan negara dalam usaha membangunkan kawasan yang luas di negara kami, sambil membawa lebih banyak perdagangan dan peluang untuk rakyat kami, beribu-ribu peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan taraf hidup dan kemakmuran,” kata perdana menteri dalam artikel beliau bertajuk ‘Why Malaysia Supports China’s Belt and Road’ yang disiarkan South China Morning Post Khamis lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata beliau terlibat dengan projek landasan  kereta api Kunming- Singapur beberapa tahun lepas, tetapi projek itu tidak dapat dimulakan kerana kekurangan pembiayaan.

Bagaimanapun, dengan wujudnya pembiayaan kos rendah daripada China, projek itu kini mendapat nafas baharu.

Liow berkata tidak wujud langsung taktik ‘memulas tangan’ atau unsur paksaan daripada China agar negara peserta bersetuju dengan syor tertentu.

“Ia merupakan aturan longgar, bukan bersifat tegar. Ia penuh dengan kebebasan dan kebanyakan negara selesa dengan usaha sama seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, unsur penting yang membantu mewujudkan kepercayaan serta keyakinan komuniti peniaga China ialah hubungan erat yang terjalin antara Najib dan Presiden Xi Jinping serta Perdana Menteri Li Leqiang.

Presiden Xi mengatakan kepada Najib bahawa Malaysia bukan sekadar jiran, malah rakan yang dipercayai China.

Menurut Najib, kebanyakan ahli perniagaan yang beliau temui semasa lawatan itu memaklumkan kepadanya bahawa keadaan yang wujud sekarang lebih memudahkan mereka untuk berbincang mengenai perniagaan dengan rakan sejawatan mereka dari China.

Najib berkunjung ke China sebanyak sembilan kali sejak 2009 untuk mendapatkan anak kunci berkenaan dan kini pintunya terbuka luas untuk ahli perniagaan Malaysia mengadakan rundingan dengan bakal rakan niaga mereka.

Semasa kunjungan itu, Najib menyaksikan upacara menandatangani sembilan memorandum persefahaman antara syarikat Malaysia dan China, dengan nilai pelaburan berjumlah RM30 bilion.

Senyuman jelas terukir di wajah semua pihak yang hadir pada upacara itu, tetapi yang paling kelihatan begitu ceria tidak lain dan tidak bukan ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group  Tan Sri Tony Fernandes.

AirAsia menandatangani perjanjian usaha sama dengan Everbright Group dan kerajaan Henan untuk menubuhkan sebuah syarikat tambang rendah (LCC), yang akan berpangkalan di Bandaraya Zhengzhou.

“Sebuah impian menjadi kenyataan apabila berpeluang mendekati China melalui rakan yang kedudukannya amat kukuh seperti Everbright.

“Saya tidak pernah menyangka ini akan terjadi. Kami semua begitu teruja kerana ia merupakan suatu langkah besar ke hadapan bagi jenama AirAsia,” kata Tony.

AirAsia (China) juga akan melabur dalam bidang infrastruktur penerbangan, termasuk bagi pembinaan sebuah terminal LCC khusus di lapangan terbang Zhengzhou dan sebuah akademi penerbangan bagi melatih juruterbang, kru dan jurutera.

Ketika ini, AirAsia mengadakan penerbangan ke 15 destinasi di China.

Jika Tony Fernandes memandang ke China, pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba Group Jack Ma pula dijangka berkunjung ke Malaysia sekali lagi Oktober ini untuk menghadiri majlis pelancaran hub e-pemenuhan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

DFTZ akan memulakan operasinya dengan menggunakan Alibaba Cloud sebagai platform e-dagang.

Najib berkata DFTZ itu dijangka menghasilkan pertumbuhan dua angka, yang akan menyumbang kepada keseluruhan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Jack Ma ingin melakukan banyak perkara di Malaysia. Beliau memilih Malaysia untuk dijadikan hub bagi penglibatannya dalam ekonomi digital untuk rantau Asean,” kata Najib.

Sebelum tiba di Beijing pada Khamis, Najib melakukan lawatan singkat ke Hangzhou dan mengadakan pertemuan dengan Jack Ma serta melawat ibu pejabat Alibaba.

Lawatan Najib ke China juga membawa pelaburan untuk Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menyaksikan upacara bertukar-tukar MoU antara Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS) dan sebuah konsortium syarikat kejuruteraan China bagi memajukan sebuah kompleks methanol dan derivatif di Tanjung Kidurong, Bintulu.

Pembinaan loji yang dicadangkan itu dijangka siap menjelang 2021 dengan anggaran kos US$2 bilion.

Sabah pula akan menerima pelaburan berjumlah kira-kira US$132.5 juta (RM572 juta) bagi memajukan projek pembangunan bercampur, The Shore, di Kota Kinabalu.

Nanas Malaysia juga mendapat peluang untuk menembusi pasaran China.

Bukan itu sahaja. Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, usaha sedang dilakukan untuk mengeksport nangka dan durian, terutama jenis ‘musang king’ ke China.

Sebiji musang king dijual pada harga kira-kira RM800 di Hong Kong, manakala satu kilogram durian istimewa itu boleh mencapai harga RM200 di China.

Ahmad Shabery berkata beliau sedang berusaha  untuk memastikan musang king memenuhi syarat yang ditetapkan pihak berkuasa China.

“Barangkali, adalah tepat jika dirujuk hubungan Malaysia-China sebagai diplomasi durian,” katanya secara bergurau.

Najib menyifatkan Inisiatif Jalur dan Laluan itu sebagai pengubah rentak permainan bukan sahaja bagi seluruh rantau ini, malah dunia amnya.

Langkah membesarkan lagi Pelabuhan Kuantan dan menghubungkannya dengan Pelabuhan Klang melalui Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan menyaksikan eksport dari China, khususnya Shenzen, tidak lagi perlu melalui pelabuhan Singapura yang terkenal kerana kesibukannya, untuk sampai ke Selat melaka.

Ringkasnya, setelah siap kelak, ECRL akan menjadi laluan alternatif bagi barangan yang sebelum ini perlu melalui Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Peluang yang tersedia memang melimpah ruah. Kini terpulanglah  kepada kita untuk ‘menggali perigi sebelum kita terseksa kehausan’. Bernama