Konsep menang-menang Malaysia, China melalui ‘One Belt One Road’

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menyatakan keyakinannya bahawa Malaysia akan mendapat manfaat yang besar hasil daripada gagasan ‘One Belt One Road’ (OBOR) oleh China.

Perdana Menteri berkata ia berikutan wujudnya kesalinghubungan khususnya antara negara China dengan Asia Tengah, China dengan benua Eropah, China dengan Asia Tenggara, dan China dengan Afrika Timur.

“Bayangkanlah rangkaian Belt and Road ini, skalanya besar dan komprehensif. Ia bakal menjadi suntikan dan rangsangan kepada pembangunan pelbagai sektor dan industri lantas menjana pertumbuhan yang lebih tinggi melalui infrastuktur yang baik sebagai pemangkin,” katanya dalam catatan blog www.najibrazak.com semalam.

“Insya-Allah, dengan konsep berkongsi kemakmuran dan situasi menang-menang, “saya percaya Malaysia bersama negara lain akan dapat merealisasikan potensinya di bawah gagasan One Belt, One Road,” tambahnya..

OBOR adalah inisiatif Presiden China Xi Jinping sebagai strategi pembangunan yang memberi fokus kepada kesalinghubungan dan kerjasama dalam kalangan negara-negara.

Ia juga bagi merancakkan perdagangan antara negara dengan menyediakan infrastruktur seperti pelabuhan, laluan kereta api dan lebuh raya.

Selain itu, Najib turut merumuskan kejayaan lawatan beliau ke China selama lima hari bermula Jumaat lepas, antaranya sembilan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, pertanian, pasaran kewangan, infrastruktur dan kerjasama pelaburan sebanyak US$ 7.22 bilion atau kira-kira RM31.26 bilion.

Beliau berkata kebanyakan projek tersebut akan dilaksanakan di Malaysia, antaranya Robotic Future City (Bandar Robotik Masa Depan) di Johor Bahru seluas 404.6 hektar yang akan melibatkan pelaburan melebihi RM15 bilion di mana projek itu akan merangkumi pembangunan holistik dari segi penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, pendidikan, pengeluaran, perkhidmatan, dan pusat pameran.

“Sabah dan Sarawak turut mendapat manfaat daripada lawatan ini. Di Sarawak, usahasama kilang penghasilan methanol dan derivatif antara Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak, Consortium of Huanhqiu Contracting & Engineering Co. dan MACFEAM Sdn Bhd yang bernilai RM2 bilion akan dibina dan dianggarkan siap pada tahun 2021.

Alhamdulillah, PM Najib selamat sampai ke tanah air selepas 5 hari di China

“Di Sabah, kerjasama untuk membangunkan The Shore yang bernilai US$132.58 juta telah dimeterai,” katanya.

Najib berkata syarikat penerbangan kos rendah AirAsia juga telah menjadi syarikat penerbangan kos rendah yang pertama luar China yang diberi lesen untuk beroperasi di China dengan pelaburan bernilai US$100 juta.

Menurut Najib, Perdana Menteri China Li Keqiang memberi jaminan bahawa kerajaan China akan terus menyokong syarikat-syarikat China melabur di Malaysia.

“Pelaburan-pelaburan dari negara luar seperti ini sudah pasti akan membantu rakyat kita dari segi penambahan peluang pekerjaan yang berpendapatan dan berkemahiran tinggi. Ini sejajar dengan cita-cita kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” katanya.

Dari segi hubungan dua hala, Najib berkata Presiden Xi memberitahu bahawa hubungan antara Malaysia dan China berada pada tahap terbaik dalam sejarah dan mengucapkan terima kasih atas sokongan Malaysia terhadap inisiatif OBOR.

Malaysia juga mendapat manfaat langsung seperti pembiayaan pembinaan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) oleh Exim Bank of China, kata Najib.

“Saya juga ambil maklum bahawa China telah menambah pembelian minyak sawit dari Malaysia atas permintaan saya pada lawatan November lepas. Kerajaan juga menjangkakan eksport minyak sawit ke China akan meningkat jauh lebih tinggi dengan Perjanjian Persefahaman antara Felda Global Ventures Holdings Bhd dan Sinograin Oils Corp.

“Perjanjian ini juga akan memberi akses kepada pasaran hiliran pertengahan dan hiliran di China. Saya percaya bahawa lebih banyak syarikat Malaysia akan menerima manfaat atas hubungan baik antara kepimpinan tertinggi Malaysia dan China,” jelas beliau.

Sementara itu, perkembangan dari segi Zon Perdagangan Bebas Digital juga sangat memberangsangkan dengan MoU antara Malaysia Digital Economy Corporation, Hangzhou Municipal Government dan Alibaba (China) Company Limited.

Najib yakin Malaysia akan dapat membangunkan industri e-dagang melalui inisiatif di mana Malaysia bakal menjadi hab ekonomi digital di rantau Asia Tenggara dengan anggaran pertumbuhan dua angka manakala Hangzhou pula akan menjadi hab di negara China yang merupakan berita baik buat pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana di negara ini. Bernama