Dr Juanda mahu kebenaran berkahwin bawah 18 tahun dimansuhkan

KUCHING: Datuk Dr Juanda Jaya semalam mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar tiada lagi kebenaran diberikan kepada pasangan Islam yang ingin kahwin pada usia di bawah 18 tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng itu berkata, semakan semula perlu dilakukan terhadap beberapa peruntukan dalam Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sarawak 2001, termasuk memansuhkan Seksyen 7 ordinan berkenaan.

“Ini untuk menghilangkan rasa bersalah hakim syarie yang seolah-olah terpaksa meluluskan permohonan berkahwin mereka di bawah umur 16 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan bawah 18 tahun bagi kanak-kanak lelaki.

Katanya, perubahan ini juga akan dapat menutup pintu-pintu ke arah manipulasi kanak-kanak dari sudut undang-undang dan agama.

Tegasnya, sewajarnya kebenaran berkahwin bagi lelaki dan perempuan hanya dihadkan kepada 18 tahun ke atas, iaitu sekurang-kurangnya setelah melepasi usia majoriti dan selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

“Ini disebabkan kebanyakan yang berkahwin bawah umur adalah kalangan yang terlanjur, belum bersedia memikul beban rumah tangga dan akhirnya membawa kepada perceraian.

“Ini akan membawa kepada pertambahan statistik ibu tunggal yang masih kanak-kanak.

Dr Juanda memberitahu, perubahan kehidupan dan sosial masyarakat telah menyebabkan usia kahwin kanak-kanak pada masa sekarang tidak lagi relevan.

“Saya bukan bercakap soal hukum tetapi perihal obligasi kerajaan untuk menjaga masa depan rakyatnya,” tambahnya lagi.

Pada April lalu, Parlimen telah meluluskan pindaan berkaitan Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 bagi membendung gejala sosial dan jenayah berkaitan seksual yang membabitkan kanak-kanak. – Sarawakvoice