DAP tetap cabar di mahkamah, tidak mampu cabar Asfia di DUN

KUCHING: “Datuk Amar Asfia adalah tuhan di dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak, kerana di sini beliau adalah hakim!

“Apa yang disebutnya di sini (DUN) tidak boleh dicabar. Beliau adalah undang-undang.

“Tetapi di luar sana, di mahkamah, beliau akan dihakimi.

“Kerana itu kami akan meneruskan usaha mencabar kes ini di mahkamah,” kata Pengerusi DAP Chong Chieng Jen, berhubung tindakan susulan pelucutan kelayakan Adun Pujut, Dr Ting Tiong Choon daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak, Jumaat lalu.

Chieng Jen berkata, pihaknya tidak akan berundur dan akan membawa kes ini mengharungi pelbagai peringkat.

“Cara Asfia menginterpretasi kes ini adalah salah satu daripada beberapa kemungkinan kami menginterpretasinya.

“Kami tetap berpegang pada prinsip bahawa Tiong Choon tidak bersalah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Malah katanya, sehingga ke hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri yang lalu, pihaknya percaya Tiong Choon telah berjaya membatalkan status kewarganegaraan Australianya.

Katanya, untuk Pilihan Raya Kecil Pujut, jika tarikhnya telah ditetapkan oleh SPR, pihaknya tetap akan menghantar wakil.

“Jika Tiong Choon tidak dibenarkan bertanding, maka kita terpaksa mencari calon lain.

“Kita tidak akan memboikot (pilihan raya tersebut),” jelasnya lagi.

Pada sidang media yang sama, Chieng Jen turut mempertikai tindakan Kerajaan Negeri tidak menyenaraikan dua pinjaman luar pesisir bernilai AS1.6 bilion pada tahun 2011 yang didakwa dipohon melalui dua syarikat milik penuh kerajaan negeri dalam senarai pinjaman luarnya. – Sarawakvoice