Abg Johari ajak Kayan manfaatkan ekonomi digital, pasarkan sumber tanah tinggi

KUCHING: Highland Development Agency (HDA) yang ditubuhkan oleh Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) sedia memberi fokus kepada pelancongan dan pertanian moden di kawasan tanah tinggi.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, sebaik sahaja dikoordinat pelbagai sumber alam semula jadi, penduduk di kawasan tanah tinggi digiat aktif dalam usaha menjadikan mereka usahawan moden menggunakan ICT.

Bagi Abang Johari, dasar kerajaan dapat meningkatkan ekonomi tradisional kepada ekonomi berasaskan digital.

Berucap pada perasmian Pesta Lunau Kayan 2017 anjuran Persatuan Wanita Kayan Sarawak pada Selasa, beliau berharap ekonomi digital mampu memberi manfaat kepada masyarakat kawasan tanah tinggi termasuk etnik Kayan.

Pesta Lunau Kayan merupakan simbolik yang menandakan penghujung musim kitaran menanam padi dan merupakan hari istimewa dan tradisi Kayan.

Pesta Lunau Kayan tidak sama dengan Gawai Dayak kerana Gawai bukan tradisi atau kebudayaan kaum Kayan.

Pada pesta tersebut, Abang Johari menegaskan, semua rakyat dari pelbagai latar belakang yang mampu menguasai teknologi akan menerajui peluang dalam ekonomi digital kerana ia bukan berasaskan kaum, sebaliknya berdasarkan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Mengambil konsep “pertemuan anak-anak sungai” cetusan Tuan Yang Terutama Tun Pehin Abdul Taib Mahmud semasa menjadi ketua menteri sebelum ini yang menggambarkan “pertemuan anak-anak sungai yang sama-sama mengalir ke sebatang sungai yang lebih besar”.

Konsep tersebut jelas menggambarkan perpaduan utuh antara pelbagai kaum dan agama di Sarawak ini.

“Pelbagai warna dari sungai yang bertemu ini bergabung menjadi satu warna di muara sungai dan mengalir keluar ke laut,” ujar Abang Johari dan membayangkan sungai yang mengalir ke laut itu bertukar menjadi warna biru.

“Itulah Sarawak… kita ada suku kaum yang besar dan kecil, tetapi kita dapat bersama-sama membangunkan Bumi Kenyalang dengan satu warna,” kata Abang Johari.

Abang Johari turut menyentuh berkaitan Kepentingan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk biodiversiti dan bioteknologi.

Menurut beliau, Orang Ulu sangat dekat dan amat mengenali kekayaan biodiversiti di tanah tinggi dan bukit-bukau serta memiliki ilmu tradisional berkaitan tumbuh-tumbuhan yang tidak diketahui umum.

Beliau mahu ilmu tradisional digabungkan dengan teknologi dalam melakukan penyelidikan demia mendapatkan suatu penemuan yang ada nilai tambah.

Dalam ucapannya, Abang Johari berkata Kerajaan Negeri sedia melantik seorang pemimpin masyarakat Orang Ulu menjadi pemimpin kepada kaum tersebut yang berhijrah ke bandar.

Pelantikan ini seumpama fungsi Temenggong Iban yang dilantik di Kuching untuk melihat  kepentingan masyarakat Iban yang berhijrah. – Sarawakvoice