Abdul Hadi berjaya jalani pembedahan ganti injap di IJN

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya menjalani pembedahan penggantian injap di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Menurut kenyataan media Institut Jantung Negara (IJN) semalam, Abdul Hadi telah mengalami peningkatan simptom disebabkan oleh injap jantung yang bocor.

Keadaan ini, kata kenyataan itu, telah menjejaskan aktiviti harian beliau, maka doktor menasihatkan agar pembedahan injap jantung tersebut dilakukan.

Pada masa ini Ahli Parlimen Marang itu dirawat di Unit Rawatan Rapi IJN dan keadaan beliau akan dipantau untuk beberapa hari sebagai sebahagian daripada rutin bagi pembedahan jantung.

Tambah kenyataan itu lagi, tempoh 48 jam akan datang ialah tempoh yang penting selepas pembedahan dan beliau akan berada di bawah pemerhatian rapi sepasukan doktor dan jururawat di Unit Rawatan Rapi.

Awal pagi semalam Abdul Hadi telah menjalani pembedahan jantung selama tiga jam dilakukan oleh panel doktor yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub, Perunding Kanan dan Pakar Bedah Kardiotorasik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Sri Dr Jeffrey Jeswant Dillon, Ketua Pembedahan Kardiotorasik dan Datuk Dr Suhaini Kadiman, Timbalan Ketua Jabatan Anestesiologi.

“Para doktor berasa gembira dengan prosedur yang berlangsung seperti yang dijangkakan dan setakat ini parameter penting menunjukkan beliau stabil dan (doktor) telah menasihatkan supaya Dato’ Seri Abdul Hadi tidak menerima pelawat (luar) kecuali daripada ahli keluarga terdekat,” kata kenyataan itu. – Sarawakvoice