Tsunami UMNO dijangka berlaku pada PRU-14

KUALA LUMPUR: UMNO semakin mendapat kepercayaan orang Melayu dengan berlakunya ‘tsunami UMNO’, justeru  Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yakin UMNO-Barisan Nasional akan kekal berkuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Tsunami UMNO yang semakin melanda hari ini akan meranapkan impian pembangkang untuk menguasai Putrajaya pada PRU akan datang,” tegasnya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.

Katanya, ekoran perkembangan tersebut banyak penganalisis politik berpendapat kerusi pembangkang akan berjaya dirampas semula oleh UMNO dan BN pada PRU akan datang.

Menurut beliau, tsunami UMNO akan turut melanda beberapa negeri yang kini dikuasai pembangkang terutama di Selangor.

“Walaupun digembar-gemburkan pembangkang bahawa pentadbiran Najib semakin merundum, ternyata rakyat tidak mudah terpedaya dengan andaian sedemikian,” ujarnya.

Beliau berkata, geraf sokongan rakyat terutama orang Melayu terhadap UMNO yang semakin meningkat telah menggusarkan blok pembangkang.

Oleh sebab itu katanya, pembangkang sengaja merancang propaganda fitnah dan hasutan supaya pentadbiran Najib dilihat tidak konsisten dan berada dalam situasi lemah.

Malah menurut Syed Ali, perang propaganda dan provokasi akan terus disemarakkan oleh blok pembangkang sehingga PRU ke-14 akan datang.

Ujarnya, blok pembangkang yang berada dalam kecelaruan dan tidak sehaluan telah memberi banyak ruang kepada rakyat untuk berfikir secara rasional.

Malah, beliau percaya kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mendapat sokongan padu daripada rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Rakyat, menurut beliau, sudah boleh melihat sendiri bagaimana sandiwara politik pembangkang dan menilai sejauh mana ketelusan UMNO dan pentadbiran Najib selaku Perdana Menteri. – Sarawakvoice