Tiong Choon hilang kerakyatan Malaysia selepas taat setia kepada Australia – Asfia

KUCHING: Taraf kewarganegaraan Dr Ting Tiong Choon kini terus menjadi tanda tanya, apabila Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar mentafsirkannya hilang kelayakan sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, Tiong Choon telah memperoleh kerakyatan Australia dan apabila ini berlaku, berdasarkan Perkara 24(1) Perlembagaan Persekutuan, Tiong Choon secara automatik akan kehilangan taraf warganegara Malaysia.

“Kemudian anda (Tiong Choon) mengumumkan pembatalan kerakyatan Australia anda, tidak bermakna anda memperoleh semula secara automatik kewarganegaraan Malaysia.

“Jika melakukan pembatalan, Tiong Choon perlu mendaftarkan semula kerakyatannya dengan Persekutuan Malaysia berdasarkan Perkara 23 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Terdahulu, Asfia menjelaskan, isu ini pada Jumaat lalu berlingkar kepada peruntukan Perkara 17(1)(g) Perlembagaan Negeri yang menyebut, seseorang itu tidak layak untuk dipilih sebagai Ahli Dipilih Dewan Undangan Negeri jika secara sukarela memperoleh kewarganegaraan dan atau melaksanakan hak kewarganegaraan di mana-mana negara di luar Persekutuan atau membuat deklarasi kesetiaan kepada mana-mana negara di luar Persekutuan (Malaysia).

Kerana itu tegasnya, Dr Ting Tiong Choon berhadapan dengan isu memohon kerakyatan Australia secara sukarela serta melaksanakan haknya sebagai rakyat Austalia apabila mendaftarkan diri sebagai pemilih di negara tersebut.

Beliau juga telah membuat ikrar taat setia kepada negara itu, yang jelas sebuah negara di luar Malaysia. – Sarawakvoice