Pemaju projek tumpang parit sedia ada punca banjir kilat di kawasan urban – Fazzrudin

KUCHING: Para pemaju perumahan dan kontraktor di negeri ini diminta untuk lebih bertanggungjawab dengan menyediakan sistem perparitan sendiri untuk setiap projek pembangunan baharu yang akan dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Fazruddin Abdul Rahman berkata, penting untuk mereka tidak mengganggu sistem perparitan yang sedia ada bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan bandar dan pinggir bandar di negeri ini.

“Oleh itu, saya memohon Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak mengambil tindakan tegas memandangkan parit-parit yang sedia ada hanya direka untuk menampung jumlah hujan yang sedia ada.

“Justeru apabila air-air dari projek pembangunan baharu ini turut menumpang parit ini, ia akan menyebabkan banjir kilat berlaku.

Katanya, pihaknya faham bahawa projek pembangunan adalah sesuatu yang perlu namun yang dituntut ialah pengurusan projek yang lebih mengutamakan keselesaan penghuni lain di kawasan sekitar pembangunan tersebut.

“Sehubungan itu, saya memohon pihak kementerian untuk melihat kaedah penguatkuasaan yang perlu untuk memastikan pemaju-pemaju dan pemilik hartanah ini memastikan pembangunan yang dilaksana mereka tidak memberi kesan negatif kepada kawasan berdekatan.

Seharusnya parit dibuat terlebih dahulu sebelum projek pembangunan diaktifkan, agar mendatangkan keselesaan kepada rakyat seluruhnya, katanya lagi.

Fazruddin turut merayu pihak kementerian agar mengawasi lori-lori tanah ke kawasan projek yang mengakibatkan jalan berdebu, kotor dan rosak, hingga memberi kesan kepada penduduk setempat.

“Faktor-faktor keselamatan perlu diutamakan bagi membendung situasi ini bertukar tragedi.

Pada sidang media tersebut, Fazruddin turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meluluskan lebih RM5 juta untuk pelaksanaan projek perparitan di kawasan Pinang Jawa.

“Ia akan menangani masalah banjir di kawasan itu,” tambahnya.

Projek itu akan menjalani proses tender pada Julai depan. – Sarawakvoice