Pelaburan China di Malaysia pacu usaha capai status negara maju

Lawatan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak ke China baru-baru ini merupakan antara yang paling produktif dan penting, dengan pemeteraian sembilan perjanjian perniagaan antara syarikat-syarikat Malaysia dan China, bernilai RM31.3 bilion, dalam pelbagai bidang termasuk pembinaan, pertanian, infrastruktur serta operasi lapangan terbang dan pelabuhan.

Sejajar dengan kehadiran ekonomi China yang menjadi semakin ketara di rantau ini dan di peringkat global, Malaysia meraih faedah daripada hubungan dua hala yang kukuh dengan China, yang disifatkan President Xi Jinping berada pada tahap “terbaik”.

Xi memuji Malaysia di atas sokongan terhadap inisiatif ‘Satu Jajaran, Satu  Laluan’ dan menyatakan sokongan beliau kepada mana-mana syarikat China yang berhasrat melabur di Malaysia selagi memenuhi kriteria yang diperlukan.

Memandangkan Malaysia berhasrat menjadi negara maju, sokongan daripada kuasa ekonomi dunia akan menjadi perangsang utama kepada pembangunan ekonomi sebagaimana yang dilihat dalam pelbagai negara maju sebelum ini seperti Korea Selatan dan Singapura yang turut bergantung kepada pemindahan teknologi dan modal dari negara-negara maju lain.

Sementara itu,  Najib, yang mengadakan lawatan kerja selama lima hari di China, bermula Jumaat lepas, turut berbincang dengan Wanda Group mengenai kemungkinan konglomerat multinasional China itu mengambil alih sebagai pemaju induk projek mega, Bandar Malaysia.

Pencapaian penting juga disaksikan bagi Zon Perdagangan Bebas Digital setelah Malaysia dan syarikat e-dagang China, Alibaba Group, dijangka memulakan operasi pada Oktober, dengan memanfaatkan platform e-dagang iCloud Alibaba.

Walaupun China terus menjadi sumber pelaburan dan perdagangan utama Malaysia, terdapat juga rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap kebergantungan negara kepada China tetapi sesetengah pakar ekonomi berpendapat sebaliknya.

Pakar ekonomi Affin Hwang Investment Bank Bhd Izzuddin Yussof berkata peningkatan hubungan antara Malaysia dan China lebih kepada alasan strategik berbanding semata-mata mengenai  China.

“Mengenai projek-projek infrastruktur, kerajaan mempunyai keutamaan terhadap China disebabkan kos pembiayaan yang ditawarkan lebih rendah,” katanya kepada Bernama.

Tambahan pula, syarikat-syarikat China mempunyai keupayaan melaksanakan projek-projek ini  dan menjadi pakej menarik bagi kerajaan Malaysia meneruskannya.

Ketua Ekonomi ASEAN RHB Research Institute, Peck Boon Soon berkata China merupakan satu lagi pelabur langsung asing yang dapat membantu Malaysia mengembangkan ekonominya biarpun pelaburannya semakin ketara sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

“Sehingga hari ini, Malaysia masih menerima sejumlah besar pelaburan langsung asing dari Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan Singapura tetapi China menjadi semakin penting pada tahun-tahun kebelakangan ini disebabkan dasarnya yang menggalakkan pelaburan di luar negara,” katanya.

Peck  berkata pelaburan langsung asing China di Malaysia meningkat daripada hanya RM25 juta pada 2011 kepada RM975 juta pada 2014 dan melonjak kepada RM3.8 bilion tahun lepas.

“Meskipun kenaikan ketara, RM3.8 bilion itu kurang 10 peratus daripada pelaburan langsung asing bersih di negara,” katanya dan menambah yang bahagian tersebut akan lebih besar jika pelaburan Hong Kong dianggap sebagai sebahagian daripada China.

Sebagai sebahagian daripada lawatannya, Najib menghadiri forum Jalur dan Laluan yang membincangkan wawasan strategik  jangka panjang China melibatkan pembiayaan skala besar China dan pembiayaan multilateral pembangunan infrastruktur di banyak negara membangun, di rantau Asia dan juga  Afrika, Timur Tengah dan Eropah Timur.

Forum itu dihadiri 28 pemimpin dunia, antaranya Presiden Rusia Vladimir Putin, Perdana Menteri Italia Paolo Gentiloni, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Najib turut menyaksikan pemeteraian tiga memorandum persefahaman melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sebelum forum tersebut.

Mengulas mengenai inisiatif berkenaan, kedua-dua pakar ekonomi itu bersetuju bahawa pengaruh pengembangan ekonomi China bukan hanya terhad kepada Malaysia tetapi di rantau ini secara keseluruhan.

Peck berkata ekonomi China berkembang menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia, agak normal bagi sebuah ekonomi bersaiz China mempunyai pengaruh terhadap ekonomi lain di rantau ini disebabkan oleh peningkatan hubungan perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata ini akan membolehkan negara-negara di rantau ini mempelbagaikan pelaburan dan perdagangan mereka.

“Pada pandangan saya, inisiatif Satu Jajaran, Satu Laluan akan tentunya meningkatkan hubungan kerja yang baik antara  China dengan negara-negara yang terlibat dalam jajaran dan laluan berkenaan,” katanya.

Bagi Izzuddin pula, pengaruh ekonomi China berkemungkinan menjadi semakin besar dan memberi manfaat kepada ekonomi serantau daripada peluang dan aktiviti perdagangan yang bertambah.

“Aktiviti intra perdagangan di rantau ini berkemungkinan meningkat dan pada masa yang sama,  kita akan menjadi lebih saling bergantung sebagaimana Kesatuan Eropah – walaupun ia akan kekal sebagai aktiviti pelaburan dan perdagangan,” katanya.

Perdagangan dua hala antara China dan ASEAN, berkembang dari US$9 bilion pada 1991 kepada US$346 bilion pada 2015, dan inisiatif ‘Satu Jajaran & Satu Laluan’ itu menjadi keutamaan geopolitik utama negara-negara ASEAN.