PAS tetap akan lawan BN dalam PRU-14

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan parti itu tetap akan menentang Barisan Nasional (BN)  dalam  pilihan raya umum (PKR) ke-14 nanti  di sebalik  keraguan sesetengah pihak termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  bahawa parti itu akan bekerjasama dengan BN.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengulangi  pendirian tersebut untuk kesekian kali bahawa parti itu  tidak sekali-kali akan bersama BN sebagaimana ditegaskan sebelum ini.

Malah, Pas, katanya,  akan meletakkan calon di kebanyakan kerusi Umno-BN pada PRU14.

Sebelum ini Pas menyatakan akan bertanding di seratus kerusi dalam PRU nanti.

“Kita lawan BN. Kita tidak akan bersama BN dan ini kenyataan yang telah dibuat oleh Presiden Pas dan telah pun keluar kenyataan rasmi Majlis Syura Ulamak bahawa kita tidak akan sertai BN,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, semalam.

“Untuk makluman, lebih 90 peratus kerusi yang Pas nak bertanding adalah melawan Umno-BN,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi  Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa PAS kini  menjadi sebahagian  daripada parti komponen BN tetapi belum berdaftar secara rasmi.

Tuan Ibrahim berkata, kenyataan Mahathir mungkin dibuat kerana kecewa Pas tidak menyertai Pakatan Harapan.

“Tak mungkin Mahathir boleh buat kesimpulan begitu, dia orang lama sepatutnya faham,” ujarnya. – Sarawakvoice