Pas tempelak Mahfuz kerana kritik parti sendiri

KUALA LUMPUR: Pemuda  PAS menempelak  Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dengan meminta beliau supaya tidak perlu menjadi jurucakap kepada  parti pembangkang lain seperti PKR, DAP atau  Amanah bagi perkara berhubung pendirian PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut  Ketua Penerangan Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar  ia merupakan  ketetapan PAS daripada pertimbangan maslahah dan mafsadah yang didasari syariat, serta menjadi keputusan kolektif dan bukannya hawa nafsu.

“Penjelasan tersebut telah pun dinyatakan berulang kali dan parti tidak perlu mensyarahkannya lagi. Ia menunjukkan parti sentiasa berpijak di bumi nyata dengan realiti semasa tanpa menggadai prinsip,” katanya, sambil mempelawa Mahfuz hadir ke usrah untuk mendapat keterangan lanjut agar difahami semasaknya.

Sebagai ahli PAS, ujarnya,  Mahfuz sewajibnya mengetahui saluran untuk menyatakan pendapat termasuk berbeza pandangan.

“Sewajibnya juga Datuk akur dan mematuhi disiplin dan adab berorganisasi jika bertegas masih mahu menjadi ahli PAS. Jika tidak, Datuk hanya sekadar melafaz di mulut sebagai ahli PAS, tetapi menjanggalkan diri untuk berada di rumah sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

“Soal kepatuhan dan ketaatan inilah yang sering Datuk sebut ketika berada di saf kepimpinan dahulu, tetapi kini sebaliknya. Kami mengira wajar Datuk muhasabah dan lebih tahu bertempat dari menzahirkan diri seperti sesumpah dan makan keliling. Kami nasihatkan, ada baiknya juga difokuskan kepada tanggungjawab di parlimen yang Datuk wakili sekiranya masih ‘berminat’ bertanding penggal hadapan,” ujarnya.

Katanya, jika Mahfuz masih seronok untuk sibuk mencampuri urusan rasmi parti termasuk di parlimen dan negeri lain, elok rasanya dipertimbangkan untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena kerana kedudukan itu diperolehi hasil dari hak, peruntukan dan pengorbanan parti ini.

“Fokus PAS pasca-Muktamar adalah memberi Khidmat terbaik untuk kebajikan rakyat. Kami tiada masa mahu melayan omongan kosong Datuk. Kalau benar fokus Datuk jatuhkan BN, maka teruskan membongkar penyelewengan bukan menyerang Parti Sendiri. Cukuplah Dato’ membantu BN menyerang PAS. Seperti pepatah Melayu ‘anak harimau di ajar makan daging,” katanya’.

Dua hari lalu, Ahli Parlimen Pas itu berkata, dari segi moral politik, PAS wajib  memisahkan diri daripada terlibat atau bersekongkol dalam apa-apa juga kapasiti dengan PKR dan DAP yang didakwa  telah mengkhianati PAS.

Beliau berkata, dalam situasi di Selangor sekarang, Exco-Exco PAS sepatutnya meletak jawatan serta-merta sebaik sahaja Majlis Syura Ulamak mengesahkan keputusan Muktamar yang telah memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi  dengan PKR tanpa perlu diminta atau dipaksa oleh sesiapa. – Sarawakvoice