Orang Ulu disaran manfaatkan kekayaan biodiversiti tanah tinggi untuk pasaran global – Abang Johari

KUCHING: Masyarakat Orang Ulu di negeri ini digesa memanfaatkan kekayaan biodiversiti di tanah tinggi untuk dijadikan pelbagai produk berkait sains perubatan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana kebanyakan sumber biodiversiti yang unik terdapat di kawasan tanah tinggi, dan secara demografinya dihuni oleh masyarakat Orang Ulu, termasuk Kayan dan Penan.

“Oleh itu, saya menyarankan masyarakat Orang Ulu melahirkan ramai saintis dalam usaha mencari manfaat tumbuh-tumbuhan ini.

“Saya masih ingat, jika ada individu yang dipatuk ular, masyarakat Penan hanya mengambil daun dan mengunyahnya, sebelum menampal di bahagian patukan, yang akan menawar bisa gigitan tersebut,” katanya sewaktu merasmikan Pesta Lunau anjuran Persatuan Kayan Sarawak malam tadi.

Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan logo baharu Persatuan Wanita Kayan Sarawak.

Hadir sama dua Timbalan Ketua Menteri; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri James Jemut Masing, selain Adun Telang Usan yang juga Presiden Kayan Sarawak, Dennis Ngau.

Jelas Abang Johari, sedar akan potensi dan kekayaan flora dan fauna ini, Kerajaan Negeri kini sedang memperkasa sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengkaji potensi tumbuh-tumbuhan ini.

“Dengan adanya teknologi dan kajian daripada para saintis, ia akan memberi nilai tambah kepada produk-produk ini.

“Ia kemudian boleh dipasar ke seluruh dunia menerusi kaedah e-dagang yang kita sedang pelopori,” katanya lagi.

Ketua Menteri yang baharu kembali dari Beijing, China berkata, beliau yakin usaha ini akan berjaya, kerana semakin ramai masyarakat Orang Ulu, termasuk Kayan yang kini telah menjadi penduduk urban.

“Mereka ini boleh memanfaatkan peluang yang terhidang ini dengan mengeksplotasi kemahiran generasi tua terhadap floran dan fauna ini dan menjadikannya produk yang boleh diniagakan.

“Dengan teknologi yang ada dan peluang pemasaran yang moden, mereka boleh muncul sebagai usahawan yang berjaya, terutama bagi yang dilatih di Kampung Digital kelak,” tambahnya lagi.

Pada majlis tersebut juga, beliau mengarahkan Datuk Amar Douglas Uggah untuk menubuhkan agensi Pembangunan Tanah Tinggi yang akan diletakkan di bawah Recoda.

Agensi baharu ini akan memberi fokus kepada pelancongan, dan pertanian moden di tanah tinggi, tambahnya lagi. – Sarawakvoice