Notis pengosongan kerusi DUN Pujut telah diserah kepada Pengerusi SPR – Asfia

KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar sebentar tadi mengesahkan bahawa pihaknya telah menghantar notis pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kawasan Pujut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

Katanya, surat kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah itu bertarikh, ditandatangani dan dihantar pada hari ini.

“Ia bagi membolehkan SPR mengambil langkah susulan yang perlu,” katanya dalam satu sidang media sebentar tadi.

Tindakan itu diambil berlandaskan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri setelah Adun N74 Pujut, Dr Ting Tiong Choon dilucutkan kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri pada Jumaat lalu.

Pelucutan dilakukan menerusi undian Dewan, berdasarkan usul Datuk Seri Dr Wong Soon Koh, yang menyaksikan 70 menyokong dan 10 menentang.

Sebelum itu, usul penyingkiran Tiong Choon dilakukan atas alasan beliau memiliki dua kerakyatan, menyebabkan dia hilang kelayakan, bukan sahaja sebagai Adun, tetapi warganegara Malaysia.

Kata Asfia, pihaknya tidak bermasalah sekiranya pihak Parti Tindakan Demokratik hendak mencabar keputusan ini ke mahkamah, kerana berdasarkan pengalaman perundangan, DUN mempunyai kuasa legislatif yang eksklusif berhubung keputusan ini.

Malah katanya, ia juga berdasarkan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut, keabsahan prosiding dalam DUN di mana-mana negeri tidak boleh dipersoal di mahkamah.

Berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan juga, pilihan raya harus diadakan selewat-lewatnya 60 hari selepas notis pengosongan kerusi dimaklumkan. – Sarawakvoice