Kerajaan Negeri peruntuk RM24 juta untuk baik pulih sekolah daif

KUCHING: Di bawah inisiatif transformasi luar bandar, Kerajaan Negeri memperuntuk dana RM24 juta bagi kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Sementara, bagi tujuan pembinaan sekolah baharu, dana adalah di bawah peruntukandi bawah Kerajaan Persekutuan

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr. Haji Annuar Rapaee ketika menjawab soalan Ali Biju (PKR-Krian) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 pada Isnin berkata, penubuhan kementerian baharu dalam barisan kabinet negeri menjadikan Sarawak lebih fokus terhadap isu pendidikan di negeri ini.

Pada rombakan kabinet awal Mei lepas, portfolio pelajaran diletakkan di bawah Kerajaan Negeri dengan Datuk Sri Michael Manyin menggalas jawatan sebagai Menteri Pelajaran, Sains dan Teknologi Penyelidikan.

Mengulas berkaitan sekolah daif, menurut  Annuar Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) mencari tempat sesuai memindahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kabo dan SK Gerenjang kerana berisiko banjir dan dikategorikan sebagai sekolah daif.

Berkaitan isu penggabungan beberapa sekolah yang kekurangan murid, kerajaan membuat tindakan tersebut selepas mempertimbang pelbagai faktor terlebih dahulu.

Menurut Annuar, penggabungan beberapa buah sekolah yang kekurangan murid menjimatkan sumber tenaga dan sebagainya, namun, kajian diteliti dilakukan berdasarkan kesan yang diterima sepenuhnya oleh penduduk atau prestasi sekolah.

Sementara, kerajaan tidak mahu murid terabai dengan penduduk negeri ini tinggal bertaburan dan perlunya membina pusat pendidikan dasar di penempatan mereka. – Sarawakvoice