Hari Guru: Ikram S’wak letak guru sebagai pembina Negara Rahmah

KUCHING: Bersempena Hari Guru hari ini, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Sarawak mengajak masyarakat menghargai peranan dan jasa pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa untuk menjadi modal insan yang unggul.

Dalam kenyataan media kepada Sarawak Voice, Yang Dipertua Ikram Sarawak, Tuan Haji Ibrahim bin Mohamad memohon kepada Allah SWT agar mengganjari segala kebaikan yang dicurahkan oleh semua guru di tanah air tercinta ini.

“Saban tahun, 16 Mei menjadi tarikh yang signifikan kepada para pendidik di seluruh pelosok negara.

“Sama ada pendidik di bandar, luar bandar mahupun pedalaman. Kesemuanya diraikan dan diangkat pengorbanan pendidik dalam hari istimewa ini.”

Ibrahim berkata, “tugas mulia seorang pendidik adalah mewarisi ciri-ciri Rasulullah SAW bukan setakat menyampaikan ilmu dan kemahiran, malah yang terlebih utama ialah kita perlu membina keperibadian dan akhlak diri sebagai seorang hamba dan khalifah Allah SWT.

“Maka, peranan pendidik itu suatu yang sangat besar dalam merubah persekitaran masyarakat.”

Ikram Sarawak mengharapkan para pendidik mampu bersama-sama ke arah membina negara rahmah.

Antara ciri-ciri negara rahmah ialah: Masyarakat berilmu, berakhlak dan penyayang, institusi keluarga yang utuh, hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni, ekonomi yang mapan, pembangunan yang lestari, kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara.”

Ibrahim menyifatkan untuk membina negara rahmah bukan mudah dan ia memerlukan peranan kolektif semua pihak.

“Pendidik merupakan arkitek utama dalam membangunkan potensi diri modal insan serta merubah masyarakat ke arah hasrat yang sama,” menurut Ibrahim.

Ikram Sarawak juga sentiasa peka dan mengambil berat dengan perkembangan sistem pendidikan negara.

Perubahan dasar pendidikan negara harus benar-benar menghayati teras pendidikan yang digambarkan oleh peribadi agung Nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW suri teladan yang terbaik buat peribadi manusia.

“Pelaksanaan dasar pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) diharap mampu menambah baik sistem pendidikan negara ke arah yang lebih berkualiti,” menurut kenyataan media tersebut.

Bagi Ikram Sarawak, guru perlu diberi lebih autoriti dan dikurangkan bebanan tugas perkeranian ke arah melahirkan guru yang kreatif serta inovasi ke arah sesi Pembelajaraan dan Pemudahcaraan (PdPc) yang efektif.

Golongan pendidik dilihat perlu diberi lebih ruang untuk bersuara bagi menyatakan realiti sebenar keberkesanan pendidikan sebagai mekanisme semak imbang kepada pelaksanaan dasar pendidikan sedia ada.

“Ikram Sarawak menyarankan agar para pendidik terus berusaha mempertingkat kualiti serta keupayaan diri dalam berhadapan dengan cabaran semasa yang semakin kompleks,” ujar Ibrahim. – Sarawakvoice