Bertindak segera tangani kemusnahan alam di Tanjong Datu — Jamilah Anu

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu semalam mahu kerajaan bertindak segera terhadap perbuatan laku musnah terhadap alam sekitar di kawasan DUN tersebut.

Menurutnya, jika tindakan penguatkuasaan tidak dilakukan, ekosistem kawasan paling selatan di Sarawak akan terjejas, apatah lagi dengan tumpuan yang semakin meluas terhadapnya sebagai destinasi pelancongan.

“Saya tidak mahu suatu hari nanti, semua ini musnah dan rosak akibat eksploitasi yang tidak terkawal.

Semuanya kerana akses jalan raya yang moden, yang membawa kepada peningkatan bilangan pengunjung, peningkatan bilangan resort dan tempat peranginan.

“Ini menyebabkan pemaju-pemaju di kawasan DUN ini mengabaikan kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya ketika ditemui hari ini, bagi mengulas ucap bahas sulungnya di DUN.

Jamilah, 62 tahun yang juga balu mantan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, Tanjong Datu merupakan kawasan yang tersohor dengan keindahan pantainya yang keemasan, laut yang membiru, hutan dan gunung-ganang yang menghijau serta air-air terjun yang melimpah bertingkat-tingkat.

“Malah Allahyarham Tok Nan pun selalu berseloroh, menyatakan bahawa Tanjong Datu adalah kawasan DUN yang paling indah di Sarawak.

Oleh itu katanya, biarlah semua pihak berwaspada dan berjaga-jaga agar setiap pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan berpaksikan tahap kepatuhan maksimum terhadap undang-undang dan peraturan pemeliharaan alam sekitar yang sedia ada.

“Saya tidak menentang kemajuan, namun dalam aspek ini, sekiranya undang-undang dan peraturan tidak memadai, maka perlulah kita gubal atau memperketatkan undang-undang serta peraturan yang sedia ada agar alam tidak diperkosa.

Keluhnya, secara realitinya, apa yang berlaku ialah penguatkuasaan yang lemah.

“Lihatlah apa yang berlaku di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Samunsam.

“Janganlah perkara ini berulang, dan terjadi pula di kawasan yang lain seperti di gunung-gunung di sekitar Tanjong Datu.

Beliau berharap batu-batu karang atau koral di Tanjong Datu hidup subur tanpa gangguan pukat tunda.

“Biarlah air-air terjun di gunung-ganang sentiasa mengalir tanpa gangguan di kawasan tadahan air dan biarlah hutan-hutan melindungi pelbagai spesies hidupan liar seperti selama ini tanpa diganggu atau diburu.

Semuanya ini tegasnya, adalah khazanah yang diwarisi dan bakal diwariskan kepada generasi yang akan datang, tambahnya lagi. – Sarawakvoice