Asfia sedia berperang di mahkamah berhubung kes Pujut

KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, pihaknya tidak bermasalah sekiranya pihak Parti Tindakan Demokratik (DAP) berhasrat mencabar keputusan Dun di mahkamah.

Katanya, pihaknya telah dimaklumkan bahawa DAP akan membuat writ saman berhubung keputusan pelucutan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri N74.

“Sekiranya mereka memfailkan writ saman, tindak balas kita adalah untuk memgetepikan writ saman tersebut.

Gambar fail

“Kedudukan kita adalah jelas, kita bertindak dalam lingkungan Perlembagaan Negeri dan Persekutuan,” katanya lagi.

Tegasnya, jika tindakan mahkamah diambil, pihaknya telah bersedia.

Ditanya apakah akan ada tindakan Tiong Choon dianggap sebagai menipu DUN, beliau menjawab: “memang!”

Katanya, DUN Sarawak telah membuat apa yang patut berhubung kes ini.

“Sesiapa yang hendak membuat laporan (polis) berhubung kes ini (penipuan status kewarganegaraan), terpulang kepada mereka yang berkenaan,” jelasnya lagi.

DUN Pujut kosong susulan tindakan DUN Sarawak mengundi untuk menyingkirkan Tiong Chong kerana isu dwikerakyatan, yang membatalkan penyertaannya dalam pilihan raya negeri pada 7 Mei tahun lalu. – Sarawakvoice