40 tahun DBP S’wak bantu kerajaan laksanakan bahasa, sastera, seni, budaya — Abg Johari

KUCHING: DBP Cawangan Sarawak (DBPCS) sudah berusia 40 tahun, manakala DBP Malaysia sudah berusia 60 tahun.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sejajar sambutan ulang tahun DBPCS dan DBP Malaysia tahun ini beliau berharap DBP terus cemerlang memainkan peranan membudayakan nilai ilmu, nilai peradaban dan kreativiti kepada masyarakat di Sarawak.

Justeru, DBP digesa terus menggerakkan pelbagai usaha demi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan.

Melalui teks ucapan dibacakan oleh Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr. Annuar Rapa’ee semasa Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Peringkat Negeri pada Isnin, Abang Johari berkata, masyarakat perlu diberi peringatan pentingnya bahasa kebangsaan dimartabatkan.

Meletakkan bahasa kebangsaan pada kedudukan sewajarnya mampu meninggikan  nilai peradaban bangsa dan perpaduan negeri.

Beliau berkata, masyarakat perlu diberi suntikan kesedaran berterusan perihal penting peranan bahasa kebangsaan dalam sebuah negara berdaulat.

Bagi Abang Johari, sepanjang 40 tahun DBPCS bertapak di Sarawak, ia banyak membantu Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai aktviti keilmuan merangkumi bidang bahasa, sastera, seni dan budaya.

Bagi beliau, usaha seperti ini perlu digerakkan dari semasa ke semasa dengan perancangan lebih tersusun, khususnya dalam usaha membantu kerajaan melahirkan generasi berketrampilan dan berdaya saing. – Sarawakvoice