Polis kutip tol perlindungan di rumah urut dan pusat judi di Melaka dicekup SPRM

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melancarkan satu operasi serentak di negeri ini dan membuat tangkapan terhadap tiga pegawai polis dan dua orang awam yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengutip wang rasuah daripada pengusaha-pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka.

Ketiga-tiga pegawai polis lelaki yang ditahan terdiri daripada dua berpangkat ASP dan seorang lagi berpangkat Inspektor.

Salah seorang orang awam yang ditahan dipercayai merupakan orang tengah kepada ketiga-tiga pegawai polis tersebut untuk mengutip wang rasuah daripada pengusaha-pengusaha pusat judi haram dan rumah urut tersebut.

Difahamkan, wang rasuah itu dibayar sebagai wang perlindungan bagi melindungi kegiatan-kegiatan haram yang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha tersebut.

Seorang lagi orang awam yang ditangkap pula merupakan pengusaha pusat judi haram yang telah dipantau oleh SPRM sejak beberapa bulan lalu.

Menurut sumber, operasi yang dilancarkan itu adalah hasil daripada maklumat yang diperolehi SPRM daripada orang ramai berhubung paksaan oleh beberapa pegawai polis untuk membayar wang rasuah.

Antara pegawai yang dipercayai sering terlibat merupakan mereka yang bertugas di IPD Melaka Tengah dan IPD Jasin.

Kesemua yang ditahan telah ditahan dalam operasi yang dilancarkan kira-kira jam 11 pagi tadi.

Difahamkan SPRM masih mengesan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam perbuatan itu termasuk pegawai-pegawai polis di Melaka.

Tambah sumber lagi, SPRM turut menyiasat hubungan dua orang awam yang yang ditangkap dengan pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia.

Ini kerana terdapat maklumat bahawa jika terdapat pegawai polis yang enggan bersekongkol dalam aktiviti tersebut, mereka akan ditukarkan dengan serta-merta.

SPRM juga dikatakan sedang menyiasat seorang Ketua Polis Daerah di negeri Melaka yang pernah ditukarkan sebelum ini kerana keengganannya bersekongkol dalam aktiviti-aktiviti tersebut ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

Kesemua suspek berusia antara 41 tahun dan 31 tahun dijangka akan direman di Mahkamah Putrajaya esok untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – Sarawakvoice