Tiada yang pelik dalam tindakan Pas, kata penganalisis

KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis politk menyifatkan tiada yang pelik  dalam tindakan Majlis Syura Ulamak PAS menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memutuskan sebarang tindakan politik sehubungan dengan pembatalan hubungan politik tahaluf siyasi antara PAS dan PKR.

Dr Kamarul Zaman Yusoff  berkata, agak melucukan juga apabila melihat gelagat pihak yang menyindir proses ini dengan berlagak seolah-olah mereka ialah pakar yang serba tahu mengenai PAS sedangkan apa yang mereka perkatakan jauh lari daripada hakikat sebenar yang pernah berlaku di dalam PAS.

Beliau berkata, sindiran yang dibuat kepada PAS mengenai proses pemutusan hubungan PAS-PKR ini yang didakwa pelik ekoran kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS.

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sebelum ini berkata, Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 11 Mei lalu memutuskan bahawa “hubungan politik tahaluf siyasi antara PAS dan PKR telah terbatal” dan bahawa “sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat”.

“Sindiran yang dibuat kepada PAS mengenai proses ini adalah kerana “passing” yang didakwa dibuat dari Majlis Syura Ulamak PAS yang lebih tinggi kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang lebih rendah yang didakwa tidak wajar,” katanya dalam lidah rasmi Pas, Harakah.

Sebenarnya, ujar beliau,  pihak yang menyindir proses ini juga menyindir amalan PAS sebelum ini yang melibatkan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS dan Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor sebagai Presiden PAS.

Hal ini, katanya adalah kerana proses pemutusan hubungan politik PAS-PMS46 dahulu juga bermula dari Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 13 Julai 1996 yang memutuskan bahawa PAS memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PMS46 di semua peringkat.

Setelah Majlis Syura Ulamak PAS yang diketuai oleh Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS membuat keputusan tersebut, maka ia dibawa kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menentukan bagaimana ia akan dilaksanakan. – Sarawakvoice