Terung asam, ikan masin antara terlaris di Pasar Dayak Johor

KOTA SAMARAHAN: Terung asam dan ikan masin antara produk tani hasil Sarawak menjadi rebutan pembeli di Pasar Dayak di Johor khususnya menjelang musim Gawai.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Pra-Gawai Dayak di The Summer pada Ahad berkata, produk popular Sarawak dapat dibekalkan secara berterusan di pasaran Semenanjung.

“Saya menggesa komuniti Dayak di Sarawak menjalin hubungan dan kerjasama agar produk kita dapat dipasarkan berterusan di sana,” ujar Uggah.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu itu turut memaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai program menyokong usahawan Bumiputera berjaya dalam perniagaan.

Uggah menggesa kaum Dayak bersedia menyahut cabaran era ekonomi digital yang digagaskan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Uggah tidak mahu melihat kaum Dayak tertinggal kalau tidak menyahut cabaran itu kini.

Uggah juga tidak mahu ia menjadi isu mengatakan kaum Dayak dipinggirkan kerana kesilapan dari awal tidak turut serta dalam gagasan ekonomi digital berkenaan. – Sarawakvoice