Talent Corp nafi Dr Ting produk Program Kepulangan Pakar (REP) sewaktu pulang dari Australia

KUCHING: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut, Dr Ting Tiong Choon hari ini menerima “tamparan hebat” apabila Talent Corporation Malaysia Berhad (Talent Corp) menafikan kepulangan pengamal perubatan itu ke Malaysia atas rekrutmen mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corp, Shareen Shariza Datuk Abdul Ghani berkata, Dr Ting pernah menohon untuk menyertai Program Kepulangan Pakar (REP) pada Mei 2014 dan diberi kelulusan bersyarat pada September tahun yang sama.

“Namun beliau gagal menyerahkan Surat Akuan Tarikh Kembali (SATK) untuk membuktikan beliau telah kembali ke Malaysia dan memperoleh pekerjaan.

“Pada masa yang sama, beliau juga gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Jawatankuasa REP,” jelasnya lagi.

Dalam kes yang berkaitan dengan Dr Ting, kelulusan bersyaratnya mengkehendaki beliau menyediakan surat pelantikan jawatan sebagai pegawai perubatan di kawasan luar bandar dan pendaftarannya dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Setelah diluluskan, semua REP diberi tempoh sehingga dua tahun untuk kembali dan memperoleh pekerjaan di Malaysia sebelum mengemukakan SATK kepada TalentCorp, untuk diklasifikasikan sebagai pakar yang pulang di bawah program REP, dan mendapat manfaat dan insentif daripadanya.

Tegasnya, ketika membuat permohonan, Dr Ting merupakan pemegang pasport Malaysia yang sah, yang kemudian melayakkan beliau membuat permohonan REP.

“Di bawah program REP, pemegang penduduk tetap (PR) dibenarkan untuk memohon sekiranya dapat menunjukkan bukti bahawa mereka masih warganegara Malaysia.

“Pemohon juga perlu mematuhi kriteria yang ketat berhubung kelayakan akademik, pengalaman kerja, tahap pendapatan dan tempoh perkhidmatan di luar negara.

Shareen menambah, calon juga mesti bekerja dalam bidang berkemahiran tinggi yang dikenal pasti dalam Senarai Pekerjaan Kritikal serta bekerja dan tinggal di luar negeri semasa permohonan.

TalentCorp merupakan sebuah agensi kerajaan yang memacu strategi tenaga kerja Malaysia ke arah hab tenaga kerja yang dinamik.

Ia bekerjasama dalam sektor swasta dan awam dalam melaksanakan inisiatif untuk menarik, memupuk dan mengekalkan kepakaran yang diperlukan bagi memenuhi permintaan negara terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi. – Sarawakvoice