Saya tidak bersalah. Ini propaganda Kerajaan – Dr Ting Tiong Choon

Bekas Adun Pujut, Dr Ting Tiong Choon semalam kekal dengan pendiriannya bahawa beliau tidak bersalah dan masih rakyat Malaysia. Berikut adalah wawancara editor sarawakvoice.com, Rudi Affendi Khalik dengan beliau.

SV: Boleh perjelaskan status saudara sekarang?

Saya berpandangan bahawa tiada isu mengenai status saya. Saya rakyat Malaysia. Saya penduduk Sarawak dan tidak pernah saya kehilangan taraf kewarganegaraan Malaysia.

Semua isu ini telah diperkatakan sebelum pencalonan, selepas pencalonan, ketika kempen, selepas pilihan raya hingga sekarang.

SV: Apa sebenarnya berlaku?

Semua ini hanyalah propaganda. Cuba menafikan kedudukan saya di Pujut. Cuba untuk meminimumkan impak DAP di utara Sarawak.

SV: Propaganda politik?

Apa yang berlaku di dewan pada dua hari lalu bukanlah isu sebenar. Apa yang kita bicarakan hari ini ialah cara dan kaedah mereka memikirkan dan melaksanakannya.

Bagaimana boleh Dewan sebagai badan legislatif, menjadi badan eksekutif dan judisari sekali gus pada masa yang sama. Dan ini amat berbahaya dan ini yang kami perjuangkan.

Sebagai parti politik, DAP melihat ini tidak demokratik. Kerana itu kami berjuang pada hari ini.

Apa yang Abang Jo dan pasukannya lakukan di dalam dewan pada Jumaat lalu adalah sesuatu yang amat buruk kepada Sarawak.

SV: Maksudnya?

Ia memberikan imej yang buruk tentang legislatif Sarawak di mata dunia.

SV: Beberapa Menteri Pusat dan pakar akademik meletakkan kedudukan anda sebagai hilang kewarganegaraan atau “persona nan grata” kerana situasi ini.

Mereka silap. Itu hanya propaganda Barisan Nasional yang mengatakan saya kehilangan taraf kewarganegaraan pada tahun 2010.

Mereka perlu kembali melihat kepada Perlembagaan Persekutuan, dan merujuk kepada Perkara 27 dan bacanya dengan teliti.

Jangan hanya membuat keputusan dan penghakiman sendiri berhubung perkara itu.

Sepanjang yang saya tahu, saya tidak pernah hilang taraf kewarganegaraan saya.

Baik baca dengan teliti daripada menabur fitnah.

SV: Isu muflis?

Itu semua hanya tuduhan. Fitnah. Tidak ada kebenaran. Kerana itu Datuk Seri Wong Soon Koh tidak berani mengulangi tuduhan tersebut di luar dewan.

Dia hanya memperoleh maklumat itu dari internet. Awak pun boleh mendapatkannya, tetapi jika dilanjutkan semakan, terbukti saya tidak muflis.

Kami tidak akan memberi banyak maklumat lanjut berhubung perkara ini. Dan jika mereka berhasrat untuk melakukannya, biarlah mereka lakukannya di depan khalayak, bukan bersembunyi di sebalik DUN.

SV: Ada laporan media mengatakan saudara telah menyerahkan kewarganegaraan Australia dua bulan sebelum pilihan raya?

Banyak maklumat yang beredar di luar sana sekarang adalah tidak benar. Ia propaganda kerajaan. Kalau mereka hendak lakukan …. teruskan. Saya tidak fikir ia adil untuk kami melayan tuduhan seperti ini. – Sarawakvoice