Sarawak meterai MoU bina kilang methanol bernilai RM3.4 bilion di Bintulu

BEIJING: Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS), entiti di bawah kerajaan negeri Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sebuah konsortium antara  China Huanqiu Contracting dan Engineering Co Ltd (HQC) serta MACFeam Sdn Bhd, anak syarikat Pegasus Diversified Bhd.

MoU tersebut adalah bagi pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) kilang methanol dan kilang derivatif methanol di Tanjung Kidurong, Bintulu, demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Majlis permeterian itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di sini.

Majlis tersebut diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini dan merupakan satu daripada sembilan perjanjian yang dimeterai semalam bersempena dengan lawatan rasmi Perdana Menteri ke ibu negara China itu bagi menghadiri Forum Road and Belt.

Kilang methanol itu yang dianggarkan menelan kos US$800 juta (US$1=RM4.34) dijangka siap pada 2021. Ia akan mempunyai kapasiti menghasilkan 5,000 tan metrik methanol sehari.

Cadangan kompleks itu yang akan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sarawak, akan dibina di kawasan seluas 88 hektar di Tanjung Kidurong, Bintulu.

Projek itu merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang keseluruhan untuk meluaskan rantaian nilai hiliran minyak dan gas bagi mengubah Bintulu menjadi hab petrokimia di negara ini.

Keseluruhan projek yang menelan kos lebih US$2 bilion itu merangkumi tiga kilang yang akan dibangunkan dalam dua fasa. Cadangan pembinaan kilang lain dijangka siap dalam tempoh tujuh dan 20 tahun.

Pada majlis permeteraian itu, YHBS diwakili oleh Pengerusinya Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain manakala HQC diwakili oleh Naib Presiden Eksekutifnya Zhang Laiyong. Bernama