RM5.9b hasil daripada perkayuan, Kerajaan Sarawak tidak berhasrat hentikan pembalakan – Len Talif

KUCHING: Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk memberhentikan terus kesemua lesen pembalakan, sebaliknya mengambil pendekatan berhemah dalam menangani isu ini.

Menteri Muda Perancangan Urban, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, tindakan terburu-buru sebaliknya hanya akan mendatangkan implikasi dari sudut ekonomi.

“Ini kerana industri perkayuan telah menyumbang pendapatan sebanyak RM5.9 bilion kepada negeri Sarawak sepanjang tahun lalu.

“Dan perolehan melalui pungutan hasil yang turut merangkumi bayaran royalti dan premium dan sebagainya berjumlah RM550 juta setiap tahun,” katanya menjawab soalan Adun Sadong Jaya, Aidel Lariwoo dalam sesi soal jawab DUN pagi tadi.

Pada masa yang sama, kata Len, industri ini menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 100 ribu penduduk di negeri ini.

“Ia turut menyediakan akses laluan kepada penduduk-penduduk yang tinggal jauh di pedalaman.

Pun begitu tegasnya, kerajaan telah meluluskan beberapa dasar untuk memulihara hutan negeri ini daripada terus diperkosa pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Antara tindakan yang diambil termasuklah memperkasa penguatkuasaan mencegah pembalakan haram, termasuk dengan mendapatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain.

“Jabatan Hutan juga telah mengeluarkan arahan supaya tiada lagi lesen pembalakan baharu dikeluarkan kecuali untuk tujuan pembangunan, manakala  semua pemegang lesen pembalakan sedia ada di kawasan Heart Of Borneo perlu memperoleh persijilan pengurusan hutan yang mengikut piawaian antarabangsa.

“Ini bagi memastikan pengurusan hutan di Sarawak dilaksanakan dengan amalan yang baik, dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama katanya, kerajaan komited untuk mewujudkan ‘road map’ Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) di Sarawak dengan mewartakan seluas satu juta hektar kawasan tersebut di negeri ini menjelang tahun 2020.

“Sekiranya sasaran ini tercapai, ia akan berupaya menjana ekonomi negeri melalui program ekopelancongan, meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat dan menjaga kepentingan pemuliharaan alam sekitar di Sarawak

Untuk menjayakan usaha ini juga katanya, Kerajaan Negeri kini komited untuk melaksanakan pembangunan hutan tanam (planted forest) dengan sasaran penanaman satu juta hektar menjelang tahun 2020 bagi mengurangkan kebergantungan bekalan sumber daripada hutan asli. – Sarawakvoice