RM20 juta geran RTP untuk naik taraf sekolah seluruh Sarawak – Dr Annuar Rapa’ee

KUCHING: Menteri Muda Pelajaran dan Teknologi Penyelidikan, Dr Annuar Rapa’ee hari ini berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM20 juta untuk membaik pulih dan menaik taraf sekolah-sekolah daif dan usang di seluruh negeri ini.

“Peruntukan-peruntukan ini disalurkan menerusi Pelan Transformasi Luar Bandar (RTP) yang mula diperkenalkan pada era pentadbiran Tan Sri Adenan Satem,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Adun Kota Sentosa, Chong Chieng Jen.

Bagaimanapun katanya, pembinaan sekolah-sekolah baharu pula, adalah di bawah senarai Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Negeri turut mempunyai kaedah sendiri bagi menangani isu ini dan ia akan diumum oleh Menteri Pelajaran, Sains dan Teknologi Penyelidikan, Datuk Seri Michael Manyin Jawong ketika melakukan ucapan penggulungan kelak,” katanya lagi.

Terdahulu ketika menjawab soalan Adun Krian, Ali Biju, Dr Annuar menjelaskan tindakan menggabungkan sekolah-sekolah kurang murid merupakan satu langkah supaya sumber-sumber yang ada dapat digabung dan tidak dibazirkan.

“Ia juga disebabkan oleh penduduk kita yang bertaburan.

“Jika kita gabungkan banyak sekolah ini di satu tempat, maka permintaan supaya adanya satu sekolah baharu di sesuatu kawasan akan menjadi keperluan yang mendesak kepada kerajaan,” katanya lagi.

Jelas Dr Annuar, usaha penggabungan ini penting kerana pihak kementerian perlu melihat perkara ini dari beberapa sudut, terutamanya atas keperluan dan kebaikan untuk murid-murid terbabit.

“Kajian kita sebelum pelaksanaan penggabungan ini adalah amat teliti, bagi memastikan ia lebih memberi manfaat kepada penduduk selain meningkatkan prestasi sekolah kurang murid,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice