Polis Marudi mohon bantu kesan ibu dan tiga anak hilang

MARUDI: Seorang ibu, Suzie Grace anak Bunyau, 33 bersama dua anak perempuannya Fresila Mira, 14, dan Catherina Sebi, 3 serta anak lelaki, Chriestendy Dana, 8, lapan dilaporkan sudah hilang lapan hari selepas keluar rumah 2 petang pada 9 Mei, selasa minggu lepas.

Menurut laporan Utusan Sarawak pada Selasa, Ketua Polis Baram DSP Gabriel Risut meminta orang ramai memberi maklumat sekiranya mengetahui kehilangan ibu bersama tiga anaknya itu yang diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

Orang ramai boleh menghubungi ibu pejabat Polis Marudi di talian 085-755221, 085-755222 atau menghubungi Sarjan Saudi, Ketua Polis Balai Beluru (012-8552527).

Pengadu, Enjang anak Selan, 56, bapa mentua Suzie dari Rh. James Ugil, Sg. Nakat Bakong memberitahu anak-beranak itu keluar untuk ke rumah nenek mereka di Semuruh.

Empat hari kemudian, pada Jumaat 12 Mei, Enjang bertolak ke Semuruh berjumpa menantu dan cucunya itu.

Namun, menurut nenek Suzie, Suzie bersama anaknya berangkat ke Julau menaiki bas.

Namun, selepas mengesan menantu dan cucunya itu di Julau, mereka juga tiada di situ.

Buntu dan khuatir dengan kehilangan menantu dan cucunya yang tidak dapat dikesan, Enjang membuat laporan di balai polis Miri. – Sarawakvoice