Piala FAM: Kad merah Shakri bantu Kuching dibelasah 5-1 oleh Sime Darby

KUCHING: Tiga kekasaran dalam tempoh 34 minit, mengakibatkan pengadil P. Jeevanathan tidak teragak-agak melayangkan dua kad kuning, seterusnya menghantar pemain tengah Kuching FA, Ahmad Shakri Tuah keluar padang petang semalam.

Ketika itu, Sime Darby FC masih mendahului 2-1 di Stadium Negeri, dan ia membuka peluang yang besar kepada pasukan pelawat itu menguasai sebahagian besar perlawanan.

Akhirnya, dengan kelebihan yang ada, anak-anak buah Ahmad Yusoff itu kenduri gol 5-1, biarpun pada hakikatnya mereka boleh menjaringkan lebih banyak daripada itu.

Itulah episod yang berlaku semalam dalam aksi Piala FAM di antara Kuching FA dan Sime Darby FC, biarpun 10 minit pertama aksi kelihatan seimbang.

Kredit Foto: Sahrein Maloh

Sime Darby FC memberi isyarat bahawa pengalaman mengatasi segala-galanya sebaik aksi bermula, menerusi kawalan bola yang baik dan hantaran yang tepat.

Mereka malah menghukum kealpaan barisan pertahanan Kuching FA yang diketuai Mohd Fareez Tukijo apabila mendahului minit ke-10 menerusi Chee Mohamad Arif Che Kamarudin.

Penyerang Kuching, Nazaruddin Bohri menafikan kelebihan Sime Darby apabila meledakkan gol penyamaan lima minit kemudian, namun selepas itu, mereka bagai hilang tumpuan.

Perancang tengah, Dzulfahmi Abdul Hadi memulakan pesta gol selepas itu apabila menewaskan penjaga gawang Saiful Kamel Jamel pada minit ke-23, sebelum Zul Fahmi Awang melebarkan defisit pada minit ke-39.

Memasuki babak kedua, kelebihan terus diperguna Sime Darby untuk mencetak gol, dan kali ini disempurnakan oleh Mohd Nazrul Kamaruzaman (m 59) dan Dzulfahmi Abdul Hadi (m 82).

Kuching FA cuba menukar rentak permainan dengan memasukkan penyerang utamanya, Sufizal Ismail, namun segala-galanya telah berakhir.

Keputusan ini meletakkan Kuching FA di kedudukan kelima Kumpulan B dengan 11 mata, manakala Sime Darby mengekori rapat pendahulu PJ Rangers, dengan 17 mata.

Pengurus Kuching, Fazruddin Abdul Rahman ketika ditemui berkata, anak-anak buahnya “tewas” sejak wisel pertama dibunyikan.

“Mereka bermain tidak seperti biasa, dan tertekan untuk menang di tempat sendiri.

“Sehubungan itu, kita telah memberi cuti dua hari kepada para pemain manakala pasukan pengurusan akan merangka strategi baharu yang akan digunakan menjelang aksi bertemu Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pada Sabtu.

Jurulatih Sime Darby, Ahmad Yusoff pula menyifatkan “kad merah” yang diterima oleh Kuching FA, menjadi titik tolak kepada kemenangan besar pasukannya.

“Apabila mereka tertekan, pasukan lawan memberi fokus kepada serangan untuk merapatkan jaringan.

“Peluang itu digunakan kita untuk melancarkan serang balas kerana pertahanan mereka mula goyah,” katanya lagi.

Kata Ahmad, ia kemenangan paling bermakna bagi pasukannya yang agak berehat panjang sehingga selepas Aidilfitri, kerana lawan seterusnya, Sungai Ara telah menarik diri daripada kejohanan. – Sarawakvoice