Perkelahian antara Rafizi-Azmin semakin sengit dan mendebarkan

Perkelahian antara pemimpin dalam sesebuah parti bukan suatu perkara baharu. Sejarah menunjukkan pemimpin parti-parti besar di dunia berkelahi sesama mereka.

Di tanah air tercinta, kita dapati UMNO berkelahi sesama sendiri dan boleh dikatakan berlaku hampir setiap dekad. Pemimpin PAS berkelahi dan muncul parti-parti selepas itu seperti Berjasa dan PAN.

PKR juga tidak terlepas daripada perkelahian dalaman. Ini bukan suatu rahsia besar.

Pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada jawatan Menteri Besar Selangor menerusi peristiwa ‘Langkah Kajang’ pada tahun 2015 misalnya, merupakan menifestasi kepada perkelahian dalaman PKR antara pemimpin kanan PKR.

Dan kita semua tahu bahawa perkelahian lebih besar melibatkan komponen Pakatan Rakyat khususnya antara DAP, PKR di satu pihak dan PAS menjadi semakin parah selepas ‘Langkah Kajang’.

Kebelakangan ini perkelahian dalaman yang melibatkan Timbalan Presiden PKR iaitu Azmin Ali dan Naib Presidennya iaitu Rafizi Ramli tidak lagi dapat disembunyikan dan kelihatan menjadi semakin serius nampaknya.

Perkelahian antara kedua-dua pemimpin ini semakin ketara selepas Azmin muncul sebagai Menteri Besar Selangor hasil daripada kegagalan ‘Langkah Kajang’ yang diilhamkan oleh Rafizi.

Mengikut rancangan asal ‘Langkah Kajang’ Dr Wan Azizah sepatutnya menjadi Menteri Besar Selangor, bukannya Azmin Ali. Sebab itulah Rafizi Ramli kelihatan sentiasa berusaha mencari jalan bagaimana untuk menumbangkan Azmin Ali daripada jawatan Menteri Besar Selangor.

Sebagai contoh Rafizi mengambil sikap menyerang kepemimpinan PAS pada saat PAS mahu melangsungkan muktamar tahunan mereka baru-baru ini dengan mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat bukti pemimpin tertinggi PAS menerima wang daripada UMNO.

Berikutan tuduhan itu dan beberapa isu yang lain, muktamar PAS baru-baru ini sebulat suara memutuskan untuk ‘bercerai’ dengan PKR.

Dan pada Khamis lalu, Majlis Syura PAS pula membuat keputusan memuktamadkan ‘perceraian tersebut dengan alasan PKR tidak patuh terhadap prinsip tahluf siyasi.

Rafizi tentunya berasa gembira apabila melihat strategi politiknya untuk melemahkan kedudukan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor hampir menjadi kenyataan.

Sekiranya tiga orang exco kerajaan Selangor daripada PAS mengundurkan diri, pentadbiran Azmin sudah pasti kelihatan amat lemah dan mungkin memaksa pilihan raya awal diadakan di Selangor.

Dengan ketiadaan sokongan daripada PAS (13 kerusi DUN), Pakatan Harapan (PKR 13, DAP 14 dan PAN 2) hanya memiliki majoriti kecil, iaitu lebih satu kerusi sahaja di DUN Selangor (jumlah keseluruhan ialah 56 kerusi).

Namun begitu, rancangan Rafizi tidak menjadi kenyataan. Pesuruhjaya PAS Negeri yang baharu, iaitu Ustaz Sallehen Mukhyi memutuskan untuk tidak ‘bercerai’ dengan PKR di Selangor. Beliau menegaskan Exco PAS tetap bersama Azmin.

Kenapa Ustaz Sallehen Mukhyi berani menyanggah keputusan Majlis Syura, badan pembuatan keputusan tertinggi dalam PAS?

Atau tindakan PAS Selangor itu sebenarnya mendapat restu daripada PAS pusat?

Sebagai Naib Presiden PKR, sepatutnya Rafizi mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana menyelamatkan kerajaan PKR daripada runtuh di Selangor.

Tetapi Rafizi tidak dapat menyembunyikan kekecewaan beliau apabila berkata ‘…PAS sebenarnya lebih mementingkan jawatan dan ganjaran daripada prinsip perjuangan’.

Sebagai tokoh besar PKR, Azmin Ali bukan senang untuk ditumbangkan seperti yang difikirkan oleh Rafizi.

Bagaimana Azmin menyakinkan PAS supaya terus menyokong beliau di Selangor masih menjadi misteri kepada banyak pihak.

Tindakan yang bakal diambil oleh Azmin Ali terhadap Rafizi pada masa terdekat mungkin belum jelas. Tetapi apa yang pasti perkelahian antara dua tokoh PKR ini semakin sengit dan mendebarkan. – Sarawakvoice