Nelo Vingada Ketua Jurulatih Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Nelo Vingada sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Vingada memiliki reputasi mengagumkan, dengan pengalaman 26 tahun selaku jurulatih di Portugal, malah pernah melatih skuad kebangsaan di beberapa negara Asia seperti Arab Saudi dan Jordan.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, ketika mengumumkan pelantikan jurulatih berusia 64 tahun itu berkata, Vingada hanya akan tiba di Malaysia pada 25 Mei ini untuk memulakan tugas secara rasmi.

 

Waktu kian suntuk untuknya sebelum aksi pertama kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara di Pyongyang, pada 8 Jun depan.

Ketika ini Penolong Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, dilihat mampu memainkan peranan penting membantu Vingada.

Vingada digelar ‘The Professor’ kerana kaedah pengurusan yang bijak.

Dia memulakan kerjaya dalam kejurulatihan sebagai penolong Carlos Queiroz untuk skuad bawah 20 tahun Portugal, yang kemudian muncul juara Piala Dunia pada 1989 dan 1991.

Beberapa pemain daripada dua pasukan itu turut dikenali sebagai generasi emas Portugal kerana menjadi tonggak skuad senior negara itu, seperi Luis Figo dan Rui Costa.

Vingada kemudian mengambil alih jawatan Ketua Jurulatih skuad bawah 20 tahun Portugal dan meneruskan kesinambungan barisan remaja dengan mara ke separuh akhir Piala Dunia pada 1995 dan Sukan Olimpik 1996.

Vingada mempunyai pengalaman lebih 35 tahun sebagai jurulatih dan turut berpengalaman di rantau Asia selepas membimbing skuad kebangsaan Arab Saudi (1996-1997), skuad kebangsaan Jordan (2007-2009) dan skuad Sukan Olimpik Iran (2014).

Dia turut mempunyai pengalaman mengendalikan beberapa kelab utama Afrika dan Asia seperti Zamalek SC, FC Seoul, Persepolis FC dan NorthEast United FC. – Sarawakvoice