Mahfuz: Jangan biarkan PAS menjadi kartun politik

KUALA LUMPUR: Dari segi moral politik PAS wajib  memisahkan diri daripada terlibat atau bersekongkol dalam apa-apa juga kapasiti dengan PKR dan DAP yang didakwa  PAS  telah mengkhianati PAS, kata  Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Haji Mahfuz Haji Omar.

Beliau berkata, dalam situasi di Selangor sekarang, Exco-Exco PAS sepatutnya meletak jawatan serta-merta sebaik sahaja Majlis Syura Ulamak mengesahkan keputusan Muktamar yang telah memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi  dengan PKR tanpa perlu diminta atau dipaksa oleh sesiapa.

“Peletakan jawatan ini adalah untuk menunjukkan isyarat bahawa pendirian PAS Pusat dan Selangor selari dengan keputusan Muktamar dan Majlis Syura Ulamak di mana PAS  tidak lagi dapat bersama PKR di atas alasan-alasan pemutusan tahaluf siyasi sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Tuan Ibrahim berkata bahawa anggota Exco PAS kerajaan negeri Selangor akan hanya meletak jawatan sekiranya mendapat perkenan daripada Tuanku Sultan Selangor.

PAS melalui muktamar dan Majlis Syura Ulamak telah memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR dan DAP atas alasan mereka telah mengkhianati PAS dan menentang agenda perjuangan yang dibawa PAS.

“Ini bermakna PAS tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan kedua-dua parti tersebut dan ini turut meliputi mana-mana kerajaan yang terdiri dari kedua-dua parti tersebut,” katanya.

Beliau berkata, amatlah tidak wajar Tuan Ibrahim dan PAS untuk  mengheret institusi raja dan mencari perlindungan politik istana semata-mata untuk mempertahankan ghanimah kedudukan Exco PAS di Selangor.

“Tuan Ibrahim selaku seorang tokoh politik kanan sepatutnya arif bahawa di dalam konteks sistem Raja Berperlembagaan, pelantikan Exco Kerajaan Negeri walaupun dibuat oleh Yang Dipertuan Agong atau Raja, tetapi ianya adalah atas nasihat dan cadangan nama yang diangkat oleh Perdana Menteri atau Menteri Besar,” tambahnya.

Bagi beliau, Tuan Ibrahim tidak perlu mengulangi ‘skrip’ yang pernah dimainkan oleh mantan-mantan Exco Kerajaan Kelantan dari Parti Melayu Semangat 46.

Exco terbabit  enggan meletakkan jawatan Exco pada tahun 1996, walaupun pada ketika itu Semangat 46 telah memutuskan hubungan dengan PAS.

Ujarnya, tidak sewajarnya PAS meletakan beban untuk mengosongkan kerusi Exco kerajaan negeri kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.

“Bukannya MB Azmin dan PKR yang memutuskan hubungan tetapi sebaliknya PAS yang memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR,” tambahnya.

Oleh itu, katanya lagi,  tidak ada keperluan untuk Azmin hendak minta Exco PAS meletakan jawatan.

“Janganlah  situasi di Selangor ini menjadikan rakyat melihat PAS tidak lebih dari ‘kartun politik’ yang tidak ketentuan hala,” katanya. – Sarawakvoice