Kes Zakir Naik: Perkasa gesa agar kerajaan ajar Vell Paari, MIC

KUALA LUMPUR: Perkasa memberi amaran keras dan membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak India MIC, Tamilar Kural, Hindraf dan pihak yang bersengkongkol dengan mereka ini untuk mengganggu hak dan keistimewaan yang diperolehi oleh Dr. Zakir Naik daripada kerajaan Malaysia.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam, Dr Amini Amir Abdullah berkata, Perkasa percaya bahawa Dr. Zakir dituduh sedemikian atas dasar iri hati dan cemburu terhadap dirinya yang berkaliber dan berjaya dalam menyebarkan dakwah islamiah dengan berkesan.

Perkasa merujuk kepada kenyataan MIC  yang menggesa penangkapan dan pengusiran Dr Zakir Naik berikut permintaan kerajaan India dengan Notis Merah Interpol terhadap pendakwah tersohor yang telah mengalahkan sami-sami Hindu dalam debat dengannya.

Bendahari Agung India MIC Datuk Seri S. Vell Paari berkata dalam satu kenyataan bahawa mahkamah India telah menuduh Dr. Zakir dan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) beliau menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara.

Vell Paari juga mendakwa bahawa siasatan India mendedahkan rangkaian Dr. Zakir dengan ISIS dan pengaruh ajarannya ke atas suspek yang terlibat dalam serangan pengganas di Bangladesh menunjukkan bahawa Dr. Zakir satu ancaman kepada Malaysia.

Vell Paari juga turut menggesa agar Ketua Polis Negara untuk menyiasat para penyokong Dr Zakir dan telah menuduh mereka telah menggunakan ajarannya sebagai panduan untuk menyebarkan ideologi ISIS dan merekrut ahli di Malaysia.

Beliau juga telah menggesa agar PDRM menangkap Dr. Zakir  dan menghantar pulang beliau segera ke India.

Beliau juga telah menggesa agar Presiden Perkasa, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dan kumpulan NGO Melayu disiasat kerana kononnya melindungi dan membantu Dr. Zakir.

MIC juga meminta PDRM menyiasat mereka yang membawa masuk Zakir Naik ke Malaysia.

Kata Dr Amini Amir, dengan itu bermakna  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  juga tidak terlepas daripada pertuduhan liar ini.

“Maka kita menggesa agar kerajaan Malaysia mengajar Vell Paari dan MIC agar tidak membuat tuduhan secara rambang dan semborono,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, jika Vell Paari menggesa polis siasat siapa membawa masuk Zakir Naik, maka polis juga mesti siasat PM, TPM dan JAKIM.

“Sikap biadab Vell Paari boleh membawa padah kepada India MIC,” tegasnya.

Untuk itu, kata beliau, Perkasa akan membuat  laporan polis di seluruh negara terhadap Vell Paari dan India MIC.

“Sebagai seorang yang waras, Vell Paari sepatutnya tidak mempersoalkan perkara ini kerana pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberikan status “Penduduk Tetap” sejak 5 tahun yang lalu,” tambahnya.

Menurut beliau, sudah tentu terdapat perkiraan dan penilaian tertentu yang dipertimbangkan oleh pihak KDN sebelum memberikan status tersebut kepada Dr. Zakir.

“Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf sumbangan Dr. Zakir Naik kepada perkembangan Islam di Malaysia dengan memberikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2013,” katanya lagi.

Anugerah tersebut dikurniakan sendiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah kerana sumbangannya kepada pembangunan Islam pada 5 November 2013.

Raja Salman bin Abdul Aziz Al Saud pula menganugerahkan ‘King Faisal International Prize’ – 2015 kepada Dr. Zakir Naik kerana sumbangannya yang bermakna kepada Islam.

Anugerah ini ialah anugerah yang paling berprestij dalam dunia Islam yang setara dengan Nobel Prize.

“Sebab itu tuduhan oleh Vell Paari terhadap Zakir Naik boleh dianggap menghina Yang Di Pertuan Agong,” kata kenyataan itu lagi.

“Perkasa menggesa agar pengundi pengundi beragama Islam di seluruh Malaysia agar tidak mengundi calon-calon India MIC dalam PRU14 nanti. Biar kita ajar MIC agar lebih menghormati sensitiviti umat Islam dan kedaulatan Islam dalam negara ini,” katanya.

Lagipun menurut beliau,  MIC kelihatan senada dan seirama serta sepusat sepusing dengan HINDRAF yang dikatakan akan menjadi parti politik dan menyertai Pakatan Harapan.

Perkasa, kata beliau juga menggesa kerajaan agar menarik balik status senator bagi wakil-wakil India MIC dalam Dewan Negara iaitu Goonasakaren Raman, Jaspal Singh Gurbakhes Singh, S. Bagiam Ayem Perumal, S. Vigneswaran M. Sanasee, Subramaniam Veruthasalam dan Devamany S.Krishnasamy. – Sarawakvoice