Kerajaan peruntuk RM316.96 juta bina empat jejambat dari Batu 4 ke Batu 10, untuk surai kesesakan – Julaihi

KUCHING: Kerajaan memperuntuk RM316.96 juta untuk membina empat buah jejambat dari Batu 4 1/2 hingga Batu 10 di bandar raya ini.

Menteri Muda Jalan Pesisir, Julaihi Narawi berkata, daripada jumlah itu, RM69.96 juta digunakan untuk membina jejambat Batu 4 1/2, Batu 6 (RM97.97 juta), Batu 7 (RM78.83 juta) Batu 10 (RM74.19 juta).

“Pembinaan jejambat ini merupakan langkah penyuraian trafik Jalan Kuching-Serian yang merupakan sebahagian daripada Pakej 2 Projek Lembuh Raya Pan Borneo dari Sematan ke Sungai Moyan.

“Projek telah bermula pada 1 November tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Oktober 2020,” katanya ketika menjawab soalan Adun Kota Sentosa, Chong Chieng Jen.

Ketika ini kata Julaihi, kerja-kerja survei dan pengalihan prasarana utiliti sedang berlangsung dan kerja-kerja membina jejambat di Batu 7 dan Batu 10 dijangka akan bermula pada Julai depan.

“Projek jejambat untuk Batu 4 1/2 dan Batu 6 pula dijangka bermula pada Oktober depan.

Menjawab soalan tambahan, Julaihi menjelaskan proses penyuraian trafik yang dijangka sesak teruk pada waktu itu akan ditangani oleh pihak kementerian dan jabatan yang berkaitan

Sementara itu, Chieng Jen dalam sidang media selepas itu meminta agar jalan alternatif dibina bagi membolehkan trafik bergerak lancar dan kesesakan tidak mencekik pada waktu pembinaan. – Sarawakvoice