KDNK suku pertama dijangka dapat rangsangan daripada sektor pembuatan

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama Malaysia dijangka mendapat rangsangan daripada sektor pembuatan, kata Standard Chartered Research.

Firma penyelidikan itu berkata Jabatan Perangkaan akan mengeluarkan data suku pertama KDNK pada 19 Mei.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan KDNK pada 4.9 peratus tahun ke tahun, lebih tinggi berbanding 4.5 peratus pada suku keempat 2016,” kata firma itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pertumbuhan pengeluaran perindustrian kukuh pada suku pertama dengan sektor pembuatan berkembang 5.6 peratus tahun ke tahun berbanding 5.0 peratus pada suku keempat, atas sokongan permintaan kukuh terhadap elektronik.

“Eksport meningkat pada awal 2017 berikutan permintaan kukuh di rantau ini, dipacu terutamanya daripada penambahan semula inventori China, serta harga komoditi tinggi,” kata Standard Chartered Research.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata import negara mencatatkan pertumbuhan kukuh yang agak mengejutkan berikutan peningkatan import barangan modal yang membawa kepada pengecilan sedikit lebihan perdagangan, yang mungkin memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK.

Sementara itu, Standard Chartered Research juga menjangkakan inflasi indeks harga pengguna Malaysia (IHP) mungkin susut pada April.

Jabatan Perangkaan akan mengeluarkan data IHP April pada 17 Mei.

“Kami menjangka inflasi berkurangan sedikit kepada 4.2 peratus tahun ke tahun daripada 5.1 peratus pada Mac.

“Kami juga menjangka Bank Negara Malaysia tidak akan mengambil kira peningkatan inflasi baru-baru ini yang didorong oleh langkah-langkah bekalan dan pentadbiran dan mengekalkan kadar dasar tidak berubah pada tiga peratus bagi 2017, di samping mengekalkan tumpuan terhadap inflasi teras dan pertumbuhan,” kata firma itu.