DAP Sarawak sebulat suara akan ketepikan keputusan DUN di mahkamah

KUCHING: Mesyuarat tergempar Jawatankuasa DAP Sarawak hari ini sebulat suara bersetuju memfailkan tindakan mahkamah bagi mencabar dan mengetepikan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Anggota DUN (ADUN Pujut).

“Jawatankuasa negeri membuat keputusan sebulat suara agar kami memfailkan tindakan undang-undang terhadap DUN, Speaker dan pihak berkenaan bagi mengetepikan keputusan itu,” kata pengerusinya Chong Chieng Jen pada sidang berita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini.

Beliau berkata jawatankuasa itu berpendapat usul dan resolusi yang diambil DUN Sarawak merupakan serangan terhadap prinsip penting demokrasi yang menjadi asas penubuhan negara ini.

“Kes ini bukan sahaja mengenai Dr Ting atau wakil rakyat DAP, tetapi ia suatu kes untuk mempertahankan struktur asas yang penting bagi Perlembagaan kita khususnya prinsip pemisahan kuasa,” katanya sambil memberitahu bahawa beliau akan memfailkan satu writ saman dalam masa sebulan lagi.

Menjawab soalan mengenai pilihan raya kecil, Chong yang juga ADUN Kota Sentosa berkata perkara itu terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan jika diadakan, DAP akan meletakkan calonnya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Sementara itu, Dr Ting, yang turut hadir pada sidang berita berkenaan, berkata jawatankuasa itu membuat keputusan tepat untuk mencabar keputusan DUN Sarawak melucutkan kelayakannya sebagai ADUN. Bernama