UPP-SUPP perlu sahut gesaan KM agar bersatu rampas kerusi Cina — Wong

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berulang kali meminta Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mencari titik penyelesaian sesama mereka khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang belangsung bila-bila masa dari sekarang.

Menyedari pentingnya berbincang dan kerjasama ini, Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh berkata, sememangnya kaum Cina perlu bersatu dan bekerjasama khususnya merampas semula kerusi majoriti Cina yang tewas pada PRU lepas.

Dalam PRU lepas selepas UPP dan SUPP berbalah, enam kerusi Parlimen majoriti Cina yang dikuasai Kerajaan Negeri sebelum ini Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Lanang, Sarikei dan Miri terlepas ke tangan pembangkang.

Prestasi buruk kerusi majoriti Cina di pihak kerajaan telah memberi kesan negatif kepada BN.

Menurut Wong hal tersebut merugikan kaum Cina yang sepatutnya mempunyai perwakilan lebih ramai dalam Kerajaan Persekutuan.

Wong yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang berkata, “kita berharap SUPP juga menyahut cabaran ini bersama dan kita perlu bersatu membolehkan masyarakat Cina diwakili di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Bercakap selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Khas (EDC) di KTS Garden pada Sabtu, Wing berkata, kedua-dua pihak UPP dan SUPP perlu bekerjasama dan mengelak menentang sesama sendiri kerana tidak membawa kebaikan.

Justeru kekuatan gabungan UPP-SUPP dapat meraih kemenangan pada PRU14 untuk kerusi yang pernah tewas dalam PRU lepas.

Wong mendedahkan, beberapa bekas pemimpin SUPP dan pemimpin parti komponen BN lain telah berjaya menghasilkan konsensus menzahirkan kerjasama ini.

Wong berjanji akan mengumumkan konsensus tersebut apabila tiba masanya. – Sarawakvoice