Sumbangan RM500 ribu akan dihantar ke Syria bagi membantu umat Islam menyambut Ramadan

KUCHING: Hampir RM500 ribu berjaya dikumpulkan sejak tiga minggu lalu oleh sebuah badan bukan kerajaan bagi menyediakan keperluan untuk umat Islam di Syria sempena sambutan Ramadan yang akan datang.

Sumbangan berbentuk makanan dan pakaian ini diselaraskan oleh pertubuhan Tangisan Syria di Bumi Jordan menerusi projek “Ramadan4Syria”, dan akan dihantar terus ke Syria berbanding diagihkan untuk pelarian di Jordan sebelum ini.

Menurut Timbalan Pengerusi Tangisan Syria di Bumi Jordan, Mohd Asyraf Abdullah Fadzil, sebelum ini projek ini hanya dijalankan di Jordan.

“Ini kerana kami berpusat di Jordan dan membantu pelarian Syria yang lari ke sana.

“Tetapi pada tahun ini, kita membuat kelainan.

“Maknanya, kita akan masuk terus ke dalam Syria jika diizinkan untuk membuat sumbangan di sana,” katanya.

Jika keadaan tidak mengizinkan, tambahnya lagi, pihaknya akan mencari alternatif lain bagi memastikan sumbangan ini dapat dinikmati oleh masyarakat Islam di negara tersebut.

Pada pagi tadi bertempat di Pustaka Negeri Sarawak, berlangsung acara “Larian Amal Ramadan4Syria” yang bertujuan untuk mengumpul sumbangan bagi menjayakan projek tersebut.

Larian amal anjuran Kelab Larian Petra Jaya ini disertai oleh sekitar 150 pelari, yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tupong, Fazruddin Abdul Rahman.

Fazruddin ketika ditemui berkata, antara lain objektif program itu adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tempatan bahawa menjelang Ramadan yang akan datang, masih ramai umat Islam di seluruh dunia yang tidak bernasib baik.

“Ini adalah salah satu cara untuk kita membantu mereka.

“Alhamdulillah, pada hari ini kita telah berjaya mengutip sumbangan, yang akan dihantar ke Syria untuk membantu mereka menjelang Ramadan nanti.

Kutipan yang diperoleh hari ini adalah sekitar RM8,600.

Ia akan disampaikan kepada masyarakat Islam di Syria pada pertengahan Ramadan akan datang, tambahnya lagi. – Sarawakvoice