Seoul, Tokyo risau, peluru berpandu Pyongyang capai 700 km

SEOUL: Perkembangan terbaru berkaitan isu penguasaan senjata berat dan nuklear menunjukkan Korea Utara berjaya melancarkan peluru berpandu balistik sejauh 700 kilometer pada 5.27 subuh tadi, Ahad.

Ujian tersebut dilakukan beberapa hari selepas pemimpin baru Korea Selatan menyatakan kesediaannya membuka kembali dialog dengan musuh ketatnya Pyongyang.

Reuters melaporkan Korea Selatan mendakwa senjata tersebut dilancarkan dari Kusong, di barat laut Pyongyang, lokasi yang sama ujian Februari lepas.

Mac lepas, rejim pimpinan Kim Jong-un gagal melakukan ujian pelancaran peluru berpandunya sehingga disindir oleh musuhnya termasuk Amerika Syarikat (AS).

Rabu minggu lepas, Presiden baru Korea Selatan Moon Jae-in mengadakan rapat perdana dengan Dewan Keselamatan Nasional sebagai menunjukkan reaksi atas usaha Korea Utara menguji senjata berat mereka.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe menyifatkan aktiviti membangunkan peluru berpandu jarak jauh Korea Utara mewujudkan ancaman terhadap negaranya.

Shinzo menganggap tindakan Korea Utara sebagai melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Tindakan Pyongyang membuat Abe semakin nekad merapatkan Tokyo dengan AS serta menyokong Korea Selatan. – Sarawakvoice