BERTINDAK selepas Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng dan Pengerusi Dap Sarawak, Chong Chieng Jen mempertikaikan keputusan pelucutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr. Ting Tiong Choo sebagai wakil rakyat, Dap Sarawak sedia membawa ke mahkamah itu tersebut.

Menurut Setiausaha Dap Sarawak, Alan Ling Sie Kiong yang juga peguam, satu injunksi difailkan terlebih dahulu membolehkan mahkamah membuat semakan kehakiman terhadap keputusan DUN berkenaan.

Jelas, Dap mencabar kesahihan pelucutan kelayakan ADUN Pujut oleh persidangan DUN Sarawak yang ke-18 yang bersidang Jumaat lepas berhubung dua kerakyatan beliau.

Alan berkata injunksi itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuching dan butiran lanjut di akan diumumkan selepas mesyuarat tergempar parti.

SU Dap Guan Eng Kesal di Pulau Pinang

Sebelum ini, Lim di Pulau Pinang berkata beliau terkejut dengan tindakan berbau politik tersebut.

Beliau mengungkit bahawa kes Ting sudah diselesaikan apabila Mahkamah Pilihan Raya tahun lepas menolak petisyen tersebut ada Oktober tahun lepas dengan P. Ravinthran mengarahkan pembuat petisyen membayar kos RM80,000 kepada responden.

Lim kesal kerana mahkamah memutuskan ia merupakan pemilihan yang sah, tetapi DUN Sarawak membelakangi keputusan mahkamah dengan mengemukakan usul melucutkan jawatan Ting.

Lim ketika berkata perlu membawa isu tersebut ke mahkamah, beliau turut mengarahkan Dap Sarawak bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di Pujut.

Chong Sifatkan Kes Pertama Pada Hari Paling Menyedihkan

Sementara Chong sejurus selepas pemecatan Ting di DUN Sarawak dalam kenyataan medianya percaya mahkamah sebagai badan berkecuali dan berhak membuat keputusan perlu menentukan kelayakan Ting dan kesahah pelucutan berkenaan.

Chong menyifatkan hari pelucutan Ting sebagai ADUN itu sebagai hari paling menyedihkan kerana kes seumpama itu tidak pernah pernah berlaku dalam mana-mana DUN atau Parlimen di negara ini.

Mempertikaikan kualiti bukti yang diutarakan Wong, Chong mendakwa wujud percanggahan pada dokumen yang dibentangkan Wong.

Wong mengusul, Speakar DUN S’wak Umum Lucut ADUN Ting

Pada persidangan DUN Sarawak ke-18 Jumaat lepas Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mengumumkan pelucutan Ting sebagai ADUN selepas usul dibentang dibentang oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap ADUN Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh.

Usul Wong mendapat undian 70 menyokong dan 10 menentang.

Wong dalam usulnya menjelaskan, Ting mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia pada 20 Januari 2010.

Wong memetik Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan mana-mana orang yang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menikmati hak kerakyatan asing akan hilang kelayakan sebagai ADUN.

Wong turut mendakwa Ting diisytiharkan muflis dua kali di Australia di bawah Pihak Berkuasa Kewangan Sekuriti Australia pada 24 Jun 2012 dan 11 Sept 2012.

Wong berkata Ting sebagai warganegara Australia juga merupakan pengundi berdaftar di Australia.

“ADUN Pujut sama sekali tidak layak, tidak sesuai dan individu yang tidak boleh dipercayai untuk dicalon dan dipilih mewakili rakyat Sarawak,” tegas Wong.

Sejajar perbuatan secara sukarela ADUN Pujut tersebut, menurut Wong, Ting harus berhenti menjadi ADUN kerana melanggar Artikel 17(1)(g) Perlembagaan Sarawak.

Sebelum ini, calon langsung Barisan Nasional (BN) di DUN Pujut pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) tahun lepas, Datuk Hii King Chiong, gagal membatalkan kemenangan Ting apabila Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen yang difailkan.

Pada PRN11 lepas Ting memenangi kerusi DUN Pujut dengan majoriti 1,759 undi.

Beliau mendapat 8,899 undi menewaskan Hii yang memperoleh 7,140 undi; calon Parti Islam SeMalaysia (Pas) Jofri Jaraiee (513 undi) dan calon Bebas Fong Pau Teck (375 undi).

UPP Kata Dap Tahu Masalah Ting dan Keputusan DUN muktamad

Sementara, Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu (UPP) George Lo berkata, usul Presiden UPP Wong Soon Koh memang muktamad.

Jelasnya, Dr Ting melanggar Perkara 19 Perlembagaan negeri kerana memiliki dua kewarganegaraan Australia dan Malaysia, tetapi tetap bertanding pada pilihan rahya kerusi DUN Pujut.

“Beliau (Dr Ting) mengakui beliau melepaskan kerakyatan Australia sebelum PRN dan ia jelas beliau perlu berbuat demikian kerana jika beliau warganegara Australia, beliau hilang kelayakan bertanding sebagai calon,” ujar Lo.

Lo berkata, beliau menganggap Dap menyedari senario ini sebelum penamaan calon, tetapi masih memutus meletakkan Ting, dan ia tidak berhemat.

Lo berkata, tindakan Wong mengusulkan pembatalan kelayakan Dr Ting itu betul mengikut undang-undang.

Lo berkata, Dap perlu menerima dan tahu keputusan DUN adalah muktamad.

Lo berkata, mana-mana individu yang mempunyai dua kewarganegaraan memang tidak layak untuk bertanding pada pilihan raya.

Manakala, bagi Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak tiada masalah dengan isu ADUN Pujut meskipun Dap mendakwa ia bertentangan dengan keputusan mahkamah yang pernah menolak petisyen kerusi DUN terbabit sebelum ini.

Abang Johari dilaporkan tersenyum lebar mendengar pertanyaan wartawan berkaitan isu tersebut dan menjawab ringkas, “isu itu tiada masalah.”

Ada Dua Warganegara, Kenapa DAP Benarkan Ting Bertanding — Azalina

Di Pusat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas hanya warganegara Malaysia layak menjadi calon pada pilihan raya.

Sehubungan itu beliau berkata Speaker DUN Asfia, membuat keputusan tepat melucutkan kelayakan ADUN Pujut, Ting kerana mempunyai dua taraf kewarganegaraan.

“Sepatutnya apabila anda seorang anggota Parlimen atau ADUN, kenapa anda mahu mempunyai lebih daripada satu kewarganegaraan?” persoal Azalina.

“Saya pun tak faham kenapa DAP membenarkan wakilnya Dr Ting bertanding… dia (DAP) buat semua boleh, orang lain tak boleh,” tamjbah Azalina menurut Bernama.

Azalina turut mengingatkan bakal calon pada PRU14 akan datang agar lebih jelas berkaitan hal kewarganegaraan. – Sarawakvoice

Gambar fail