Sahihkah tindakan DUN Sarawak singkir Adun Pujut yang dipilih rakyat?

Apabila jemaah legislatif Sarawak membuat keputusan pada Jumaat lalu, ia sebenarnya satu “sejarah baharu” kepada politik dan legislatif Malaysia.

Ia membayangkan betapa “The August House” memiliki kuasa yang begitu tinggi jika memiliki lebih satu per dua majoriti untuk sesuatu parti.

Dan kuasa maksimum itulah yang dimanipulasi oleh Datuk Sri Wong Soon Koh sebagai pemegang portfolio Menteri Kewangan Kedua, untuk tindakan yang akan terus diingati dan dijadikan rujukan pengamal legislatif sepanjang zaman.

Pertama, beliau menggunakan “usul kementerian”, yang tidak terikat kepada pemakluman awal, dan yang kedua, tentunya berhubung pengundian untuk menyingkirkan sabjek iaitu Adun Pujut, Dr Ting Tiong Choon mengikut usul yang dibentangkan.

Bolak-balik dalam politik Malaysia tetap akan berpegang kepada pendirian parti, dan keputusan dihakimi berdasarkan kehendak parti, bukan individu.

Kerana itulah, sebaik sahaja Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassr membuka pintu kepada penghujahan usul, ia merupakan “check mate” kepada Tiong Choon.

Akhirnya, tindakan ini memberi legimitasi kepada penyingkiran anggota DUN tersebut — sejarah baharu dalam politik Malaysia dan rantau ini.

Lebih menarik, Tiong Choon yang memperoleh 8,899 undi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei tahun lalu, memenangi kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 undi, namun tumpas kepada jemaah Dewan Undangan Negeri dengan majoriti 60 undi.

Implikasi besar pascakeputusan ini ialah akan ada kes-kes melibatkan Adun di peringkat Negeri ataupun Ahli Parlimen di peringkat Parlimen diusul terus ke “August House” untuk penyingkiran, dengan merujuk keputusan ini.

Ia bukanlah perkara baharu kerana pada 1880, nasib serupa melanda Ahli Parlimen Northampton dari Parti Liberal, Charles Bradlaugh, seorang ateis. Beliau disingkirkan di House of Commons di United Kingdom semata-mata tidak mahu memegang “bible” ketika mengangkat sumpah jawatan.

Yang jelas, DAP pasti akan membuat dua tindakan susulan selepas ini. Pihaknya akan mendapatkan injunksi, malah memfailkan writ saman bagi menunda keputusan, sementara menunggu semakan.

Dan kemudian, mencabar keputusan tersebut dari tiga aspek. Pertama; keputusan Dun itu silap dan malapetaka besar dalam politik Malaysia; kedua, berusaha membuktikan Tiong Choon hanya ada kerakyatan Malaysia; dan ketiga, meletakkan penyingkiran hanya pada kuasa undi rakyat.

Atas apa jua situasi, kesilapan sebenarnya terletak di tangan Tiong Choon sendiri.

Tempoh 365 hari sejak menang di Pujut seharusnya digunakan oleh Tiong Choon membuktikan kesetiaan dan kerakyatannya. Seharusnya beliau mendapatkan dokumen rasmi bahawa kerakyatan Australianya sudah dilepaskan secara rasmi, sementara kerakyatan Malaysianya dikembalikan — bukan sekadar memiliki kad pengenalan dan pasport.

Beliau enggan berbuat demikian, atau mungkin menganggap ringan, walhal perkara itu sudah beberapa kali dicabar, baik oleh Datuk Hii King Chiong ataupun penyandang kerusi, Fong Pau Teck.

Kini beliau bergelut dengan satu lagi situasi, kerana pendedahan ini membawa satu implikasi. Jika beliau memohon memiliki taraf kewarganegaraan Australia, maka taraf kewarganegaraan Malaysianya gugur pada tahun 2010.

Bererti semakan semula perlu dilakukan oleh Jabatan Imigresen kerana dikhuatiri status Tiong Choon akan berubah menjadi “personae non grata” atau individu tanpa negara.

Perlembagaan Persekutuan ada menyebut pada artikel 24 berkaitan pelucutan kewarganegaraan kerana memperoleh atau menggunakan kewarganegaraan asing, dan sebagainya.

24. (1) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

(2) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah menuntut dan menggunakan dengan sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan apa-apa hak yang terdapat untuknya di bawah undang-undang negara itu, iaitu hak-hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara negara itu maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

(3) (Dimansuhkan).
(3A) Tanpa menjejaskan keluasan Fasal (2), penggunaan hak undi dalam mana-mana pemilihan politik di sesuatu tempat di luar Persekutuan hendaklah disifatkan sebagai penuntutan dan penggunaan yang sukarela suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu; dan bagi maksud Fasal (2), seseorang yang, selepas tarikh yang ditetapkan* oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah bagi maksud Fasal ini—

(a) memohon kepada pihak berkuasa sesuatu tempat di luar Persekutuan supaya pasport dikeluarkan atau dibaharui; atau

(b) menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu sebagai dokumen perjalanan, hendaklah disifatkan dengan sukarela menuntut dan menggunakan suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu, iaitu suatu hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara tempat itu.

Pada masa yang sama, hajat untuk mencabar kuasa DUN juga perlu difikir berkali-kali.

Sebabnya, dewan legislatif mempunyai kekebalan dan kuasa istimewa, serta muncul sebagai badan perundangan tertinggi.

Ini termaktub dalam Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh Keistimewaan Dewan Undangan seperti berikut;

72. (1) Kesahan apa-apa prosiding di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri tidaklah boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.

(2) Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam prosiding Dewan Undangan mana- mana Negeri atau prosiding mana-mana jawatankuasanya.

(3) Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang disiarkan oleh atau di bawah kuasa Dewan Undangan mana-mana negeri.

Biarpun ia bukan keputusan popular, tindakan DUN Sarawak masih sahih. Setelah keputusan ini dimuktamadkan, terpulang lagi tindakan Speaker DUN untuk menghantar nota pemakluman kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menyatakan kes tersebut dan kekosongan kerusi yang berlaku.

Selepas itu, SPR akan bermesyuarat, seterusnya menentu dan menguruskan pilihan raya kecil, yang harus dilaksanakan dalam tempoh 60 hari. – Sarawakvoice