Pujut: BN cuba berlagak tuhan — Chong Chieng Jen

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak akan berdiam diri malah akan membawa dan mencabar kes pelucutan Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut, Dr Ting Tiong Choon oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak di mahkamah.

Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen berkata, Jawatankuasa Tertinggi DAP Sarawak yang bersidang hari ini sebulat suara bersetuju untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap Dewan Undangan Negeri Sarawak, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan pihak yang berkepentingan untuk membatalkan keputusan itu.

“Secara sebulat suara kami beranggapan bahawa usul dan resolusi yang diputuskan oleh DUN telah menafikan prinsip demokrasi sejak negara ini diwujudkan.

“Sehubungan itu, kami juga beranggapan bahawa ia bukan hanya kes yang melibatkan Dr Ting, dan wakil rakyat DAP, tetapi untuk mempertahankan keseluruhan struktur asas dalam perlembagaan kita, termasuk konsep pengasingan kuasa.

Kata Chieng Jen, apa yang berlaku dua hari lalu di DUN Sarawak, menunjukkan Barisan Nasional Sarawak cuba berlagak sebagai “tuhan”.

“Mereka merupakan penggubal undang-undang, pendakwa, hakim dan penjatuh hukum.

“Semuanya dalam satu, dan saya nyatakan dalam DUN, kopi tiga dalam satu.

Katanya lagi, ia merupakan tindakan yang tidak masuk akal dalam sistem demokrasi.

“Kerana itu kami mengambil tindakan ini untuk mempertahankan perlembagaan,” jelasnya lagi.

Tegas Adun Kota Sentosa itu lagi, keputusan tersebut merupakan sesuatu yang berbahaya kerana kerajaan yang memerintah boleh mentafsirkan perlembagaan mengikut sesuka hati mereka.

“Malah untuk memenuhi selera mereka, dan menindas minoriti pembangkang!

Katanya, kajian awal terhadap perkara itu mendapati perkara yang dirujuk mereka (Datuk Sri Wong Soon Koh) untuk menggugurkan Dr Ting tertakluk kepada dua interpretasi.

“Speaker DUN tidak mahu melihat interpretasi yang memihak (Dr Ting) sebaliknya memilih untuk melakukan keputusan yang melanggar keadilan sebenar.

Oleh itu katanya, pihaknya telah menubuhkan pasukan peguam yang terdiri daripada semua pengamal undang-undang di dalam Jawatankuasa Tertinggi DAP Negeri.

“Ia akan diketuai oleh Chong Siew Chiang, Alan Lim, Wong King Wei, Irene Chang, Violet Yong dan diri saya sendiri.

“Saya akan memfailkan tindakan dalam tempoh sebulan dan segera,” katanya lagi.

Jelasnya, pasukan ini akan bertambah kerana ramai rakan peguam yang berminat untuk membantu, kerana tindakan ini merupakan satu “serangan” terhadap sistem keadilan.

Chieng Jen menambah, pihaknya akan memfailkan writ saman dan bukannya sekadar perintah injunksi terhadap kes ini.

Ditanya apakah DAP akan memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pujut sekiranya ia diadakan oleh SPR, Chieng Jen berkata, pihaknya tidak akan membiarkan pihak lawan menang mudah.

“Kami tidak akan memboikot pilihan raya ini. Tetapi akan menyertai PRK tersebut jika ia diadakan,” tegasnya.

Bagaimanapun katanya lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa melalui beberapa proses perundangan terlebih dahulu.

“Speaker DUN akan menulis kepada SPR dan kami akan membuat kerja kami untuk menghalangnya.

Di akhir sidang media khas itu, Chieng Jen menyindir tindakan itu sebagai keputusan pentadbiran Abang Johari yang berkiblatkan gaya UMNO. – Sarawakvoice