PM Najib sertai pemimpin dunia hadir Forum Jalur Dan Laluan

BEIJING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah antara 28 pemimpin dunia yang menghadiri majlis pembukaan Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa yang berlangsung hari ini dan esok di ibu negara China ini.

Perasmian forum disempurnakan oleh Presiden Xi Jinping, pemimpin tertinggi China yang mencetuskan idea inisiatif tersebut pada 2013.

Malaysia menjadi antara negara strategik di Asia Tenggara dalam rencana besar China mengerakkan gagasan Jalur dan Laluan untuk merancakkan kerjasama ekonomi antara negara.

Antara pemimpin dunia yang hadir ialah Presiden Rusia Vladmir Putin, Perdana Menteri Itali Paolo Gentiloni, Presiden Turki Recep Tayyio Erdogan dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Menteri Kabinet Malaysia yang hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Wakil Khas Kerajaan Malaysia ke China Tan Sri Ong Ka Ting turut hadir pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan China (CNCC).

Komitmen Malaysia terhadap inisiatif ini membuahkan hasil apabila beberapa projek infrastruktur bernilai berbilion ringgit seperti pembinaan laluan kereta api dan pelabuhan telah dimulakan. Bernama